Thursday, August 4, 2011

DIAGNOSIS? (PART I)

Seorang kawan kepada saya menceritakan kisah kawannya yang dikenali semenjak zaman pelajar dulu lagi. Biarlah saya gelarkan dia Sapar sahaja. Kisahnya sangat menarik sehingga saya rasa patut juga diceritakan kepada orang lain untuk saya dapat berkongsi tentang satu lagi golongan insan yang mungkin tidak ramai yang sedar bahawa mereka bermasalah tetapi selalunya menjadi bahan untuk dipandang sipi dan mungkin dibenci.

Bilamana saya mendengar kisah Sapar ini, saya tidak mampu untuk tidak menyatakan bahawa dia sebenarnya mengalami satu jenis sindrom yang ramai orang tidak tahu dan mungkin pembaca boleh meneka apakah sindrom atau penyakit yang dihadapi oleh Sapar di dalam cerita ini. Cerita ini telahpun saya olah untuk tidak menceritakan perkara-perkara tertentu yang mungkin membongkar identiti sebenar Sapar.

Kisahnya begini….

Sapar bukanlah calang-calang orang. Beliau adalah bekas pelajar terbaik di sebuah fakulti kejuruteraan di sebuah university terkemuka di tanah air. Bukan itu sahaja, Sapar merupakan satu-satunya pelajar yang mampu mencapai tahap yang cemerlang di fakultinya semenjak tahun satu lagi. Tiada siapa yang mampu menyainginya dan mendekati pencapaiannya sepanjang berada di university. Beliau merupakan pelajar kesayangan semua pensyarah kerana kehebatannya dalam akademik dan penerima anugerah dekan dari semester pertama hingga akhir.

Obsesinya kepada bidang kejuruteraan merupakan satu daya gerak yang sangat kuat memangkin kecemerlangannya di dalam bidang ini. Beliau mampu mengingati segala teori yang diberi dan mampu mengaplikasikan teori yang dipelajarinya dengan sangat cemerlang. Tidak hairanlah dia adalah penerima tunggal biasiswa tajaan sebuah syarikat konglomerat tanahair.

Tidur, makan, minum dan berjalannya dipenuhi dengan obsesinya pada bidang ini dan tidak ada apapun yang mampu menghalangnya dari melakukan apa sahaja bagi tujuan memenuhi nafsunya yang besar di dalam bidang ini.

Sapar seorang yang sangat teliti dan teratur. Obsesinya kepada susunan dan garis lurus menyebabkan banyak masanya juga diberikan kepada kerja-kerja memastikan segalanya tersusun dan teratur. Sesiapa sahaja yang pernah ke biliknya akan menyaksikan satu hasil kerja kemas seorang lelaki yang tiada tandingan. Semuanya di tempatnya dan tiada apapun yang bersepah-sepah atau senget benget. Kawan-kawan sefakulti ramai yang takut untuk ke biliknya. Kerusinya pun kalau boleh Sapar tidak benarkan sesiapa duduk. Ini kerana orang lain baginya tidak mampu untuk duduk di kerusinya seperti yang dia lakukan. Seolah ada satu ritual dan prosedur khas untuk duduk di situ. Sapar sanggup menggunakan pembaris untuk memastikan semuanya tersusun.

Di kelas, Sapar juga mempunyai rutin yang kelihatan sangat pelik untuk semua orang. Dia akan masuk ke kelas dengan gaya tangan dan kaki yang sama setiap kali. Kaki kanan dihayun beserta tangan kiri mesti masuk dulu ke dalam kelas. Duduk pun ada cara. Alatan menulis dan susunan buku juga ada caranya bila di meja belajar.

Pakaiannya juga hanya terdiri dari satu jenis bahan yang sama sahaja. Warna pun begitu. Hitam dan putih setiap hari. Sehingga umurnya 30 tahun beliau masih tidak mempunyai lessen kenderaan. Ini kerana kesukarannya untuk mempelajari skil yang diperlukan untuk memandu atau menunggang motosikal. Basikal pun Sapar tidak reti untuk mengayuhnya.

Rutin ini dibawa ke alam pekerjaan. Walaupun 10 tahun tidak berjumpa, Sapar masih dengan gayanya seperti dulu. Kemas, tersusun dan penuh dengan ritual. Kini dia sudah menjadi orang harapan dalam projek-projek besar kerana keupayaannya untuk menyelesaikan masalah dengan sangat baik.

Namun begitu Sapar tidak mempunyai ramai kawan. Bukan kerana dia sombong tetapi sememangnya dia tidak reti untuk berkawan. Perbualannya terlalu formal dengan ayat-ayat yang tersusun dan berskema. Dia juga hanya akan bercerita tentang dirinya sahaja dan tidak berminat untuk mendengar kisah orang lain. Dia sememangnya tidak langsung pandai bergurau. Segalanya serius dan tanpa perasaan. Ramai rakan sekerjanya terasa hati dengan Sapar.

Dia seolah-olah mempunyai hati batu. Langsung tidak peduli masalah orang lain. Sebagai ketua, dia sememangnya tidak disukai ramai kerana pertimbangan kemanusiaan memang tiada dalam kamus hidupnya. Semuanya berprosedur dan berprotokol. Langsung tiada kompromi dalam apa jua perkara. Dia kelihatan tidak mampu untuk berasa simpati atau memahami kesusahan orang lain. Kadang-kadang orang merasakan dia sememangnya tiada emosi.

Pernah seorang rakan sekerja yang kematian ayah tidak dibenarkannya balik hanya kerana rakan itu telah diarah lebih awal untuk ke mesyuarat jabatannya sedangkan ketidakhadiran rakannya itu dengan mudah sahaja boleh diganti oleh sesiapa.

Dia juga tidak akan faham dengan orang yang cakap berlapik. Segalanya kena terus terang. Kerana itu jugalah ramai yang cuba mengelak untuk bertembung dengannya di dalam apa jua keadaan. Tegurannya terlalu kasar dan tidak berhemah. Bahasanya walaupun formal dan tersusun tetapi terlalu pedas utnuk diterima ramai orang. Tiada langsung usaha untuk cuba menegur secara personal. Segalanya dilakukan di hadapan orang ramai. Ramai rakan sekerjanya tidak sanggup bekerja dengannya tetapi dia langsung tidak ambil kisah. Baginya dia seorang pun boleh melakukan segala kerja.

Sapar pernah berkahwin namun perkahwinan yang diatur keluarga tidak kekal lama. Sekadar setahun sahaja. Sapar menceraikan isterinya kerana isterinya tidak mampu mencapai tahap yang diinginkannya. Perceraian mereka berlaku selepas isterinya melahirkan satu-satunya anak mereka yang kini sudah pun berumur 4 tahun.

Jadi, apakah sebenarnya masalah Sapar? Dan bolehkah Sapar dibantu?

No comments:

Post a Comment