Sunday, August 14, 2011

NIKMAT ANAK-ANAK INI

Petang itu seperti juga petang-petang yang pernah berlalu, aku duduk di halaman rumah sambil melayan karenah anak-anak yang sedang bermain-main dengan pepohon bunga yang sedang berbunga lebat. Cantik berwarna merah. Warna kegemaran anakku yang sulung. Sambil aku sibuk bermalas-malasan, tiba-tiba terlintas di fikiranku ini bagaimana sebenarnya aku telah terlali dengan begitu banyak rahmat Allah yang dikurniakan kepada ku melalui anak-anak ini.

Anak-anak yang sedang bermain di hujung halaman bakal memasuki umurnya yang keempat dan yang ketiga. Sesuatu yang tidak pernah mampu aku bayangkan sebelum ini. Segala syukur hanya pada Allah kerana aku diberi peluang untuk melihat di hadapan mataku sendiri anak-anak ini membesar menjadi seorang yang cantik dipandangan mataku. Sempurna jasadnya dan akalnya.

Betapa Allah memberikan aku satu nikmat yang ramai orang ternanti-nanti dan ramai yang terlupa iaitu nikmat mempunyai seorang insan kecil yang hatinya masih suci bersih tiada dosa memanggil kita dengan panggilan ayah setiap hari tanpa gagal. Seorang insan yang suci murni yang dikurniakan Allah yang menunggu kepulangan kita setiap hari, yang merindui diri kita dan menyayangi diri kita tanpa syarat.

Nikmat menjadi seorang ayah melihat anak berkembang menjadi seorang insan penyejuk mata dan pendamai hati yang selalu bergelora dengan pelbagai masalah seharian yang memeningkan. Aku, juga seperti ayah-ayah yang lain tidak akan mampu berhenti tersenyum dan gembira melihat jasad-jasad ini berlari, melompat, berbual dan bermain di hadapan mata kita. Betapa besarnya nikmat Allah yang hadir dari satu jasad yang juga sebenarnya milik mutlak Allah.

Hati menjadi sebak mengenangkan betapa besarnya nikmat ini yang kadang-kadang aku terlupa untuk menghargai dari mana ia datang. Rentetan dari kesibukan duniawi kadang-kadang aku terlupa bahawa nikmat ini datang dengan satu tanggungjawab dari Allah untuk mendidik insan kecil ini menjadi manusia soleh solehah. Betapa kadang-kadang aku tidak menghargai sela masa yang diberikan oleh Allah kepadaku untuk bersama insan kecil ini meneroka dunia dari kaca mata yang diredhaiNya.

Aku berdoa kepada Allah agar dikurniakan masa yang sentiasa bermanfaat bersama insan-insan kecil ini. Diberikan hidayah dan petunjuk untuk mendidiknya menjadi manusia yang diredhaiNya. Diberikan kekuatan untuk memimpinnya ke jalan yang Allah suka. Menjadi contoh teladan yang baik padanya.

Aku juga berdoa agar Allah sentiasa melindungi anak-anak ini dari tipu daya dunia dan hawa nafsu. Berdoa agar Allah memberikannya kekuatan mengahadapi ranjau hidup yang penuh dugaan. Berdoa agar mereka menjadi pencinta Allah dan Rasul yang hidup dan mati mereka hanya untukNya. Berdoa semoga mereka diberikan kebahagiaan dan ketenangan hidup. Dan berdoa semoga mereka dikurniakan syurga di sana nanti.

1 comment:

  1. Mantap sungguh bahasa. Penceritaan yang lebih santai dan menarik. Penggunaan kata-kata juga bagus. Teruskan yang terbaik.

    ReplyDelete