Dilemma Masyarakat Islam Malaysia
Perkara 1: Kutuk Mengutuk
Orang Melayu Islam sering dikaitkan dengan perpecahan, pergaduhan dan dengki mendengki antara satu sama lain sejak dulu lagi. Istilah-istilah seperti ‘cah keting’, cantas mencatas sudah terlalu biasa kita dengar dan kita pun sudah semakin tidak ambil pusing kerana sudah terlalu biasa dengannya. Ada satu lagi sifat yang Ustaz sentuh yang menyebabkan kita tidak mampu maju setara dengan orang lain iaitu kecenderungan kita untuk memberi kritikan yang menjatuhkan atau dalam bahasa mudah mengutuk.
Dalam banyak keadaan tidak kira di antara parti politik ataupun dalam masyarakat kita sendiri, kita lebih suka untuk meberi kritikan sebegini walaupun sepatutnya kita lebih wajar memberikan kritikan yang membina. Mengutuk tidak membawa apa-apa manfaat kepada dua-dua pihak melainkan dosa kering semata sedangkan perbuatan mengkritik untuk membina menghasilkan orang –orang yang berfikir dan lebih produktif walaupun kita mungkin berlainan kem.
Cuba baca di dalam banyak blog atau media termasuk yang ditulis oleh orang yang dikira islamik, perbuatan mengutuk ini dah menjadi perkara biasa dan sinonim dengan sesiapa sahaja. Bahkan orang suka untuk mebaca blog-blog sebegini kerana dikira lebih ‘happening’ dan ‘on your face’. Blog-blog yang meberi kritikan membina dilihat tidak cukup ‘ganas’ untuk menghina lawan dan jarang diberi perhatian.
Kita juga agak malu untuk member kritikan sebegini kerana dua sebab. Pertamanya kerana bukan budaya kita untuk mengkritik secara positif dan keduanya kita takut kritikan membina kita akan menyebabkan lawan menjadi lebih baik. Kita lebih selesa mengutuk dan mengutuk dan berselisih pendapat dari memberi manfaat kepada lawan yang sebenarnya seagama dengan kita.
Memang sukar untuk melakukan perkara ini namun jika diamalkan pasti akan membawa aura yang positif kepada diri kita juga.
Perkara 2: Berlumba Membuat Kebajikan Fizikal
Bila diminta untuk menderma bagi pembangunan fizikal seperti sekolah agama/pondok dan sekolah tahfiz, masyarakat kita berlumba-lumba untuk memberikan sumbangan sebanyak mungkin untuk memastikan ianya terbina. Tanah diwakafkan, bangunan dibina dengan hebat manakala duit dilaburkan begitu banyak. Masing-masing cuba membina sesuatu sebagai tanda mereka ada menyumbang. Tidak mahu berkongsi dengan orang lain walaupun institusi sebegini sudah bercambah sebegitu banyak.
Jarang kita dengar orang mengutip derma untuk memaju dan memperkembang institusi sedia ada tetapi lebih kepada ingin membuat yang baru. Bangunannya cukup hebat namun isi di dalamnya kosong. Institusi yang dibina hanya tinggal bangunan kerana kegagalan untuk mengisinya dengan tenaga kerja yang berkualiti dan mampu dibanggakan. Tenaga pengajar dikongsi merata dan kadang-kadang ditangkap muat asalkan boleh mengajar.
Akhirnya sekolah tahfiz yang diharap mampu menghasilkan generasi Al Quran yang baik hanya sekadar biasa-biasa sahaja dan tidak mempunyai kualiti. Tenaga pengajar sekejap ada dan sekejap tiada. Kalau ada pun bukan yang benar-benar berkualiti. Sumbangan kebanyakkannya bila bangunan fizikalnya terbina kerana orang kita takut untuk menderma untuk pembangunan pengisian roh di dalamnya. Akhirnya institusi ini hidup segan mati tak mahu.
Tiada nilai tambah kepada keseluruhan system. Jika pengisiannya tidak berkualiti mana mungkin kita mampu menghasilkan produk yang berkualiti juga.
Kita tidak berani untuk melabur bagi tujuan pengisiannya kerana kita juga tiada keyakinan orang kita mampu melakukannya dengan baik. Kita tega untuk membiarkan institusi ini mati dari sama-sama mengembeleng sumber yang ada memajukan apa yang telahpun ada. Masing-masing mahu buat yang baru tapi akhirnya jumlah sahaja yang banyak, produknya biasa-biasa sahaja.
No comments:
Post a Comment