Friday, August 5, 2011
Thursday, August 4, 2011
DIAGNOSIS? (PART I)
Seorang kawan kepada saya menceritakan kisah kawannya yang dikenali semenjak zaman pelajar dulu lagi. Biarlah saya gelarkan dia Sapar sahaja. Kisahnya sangat menarik sehingga saya rasa patut juga diceritakan kepada orang lain untuk saya dapat berkongsi tentang satu lagi golongan insan yang mungkin tidak ramai yang sedar bahawa mereka bermasalah tetapi selalunya menjadi bahan untuk dipandang sipi dan mungkin dibenci.
Bilamana saya mendengar kisah Sapar ini, saya tidak mampu untuk tidak menyatakan bahawa dia sebenarnya mengalami satu jenis sindrom yang ramai orang tidak tahu dan mungkin pembaca boleh meneka apakah sindrom atau penyakit yang dihadapi oleh Sapar di dalam cerita ini. Cerita ini telahpun saya olah untuk tidak menceritakan perkara-perkara tertentu yang mungkin membongkar identiti sebenar Sapar.
Kisahnya begini….
Sapar bukanlah calang-calang orang. Beliau adalah bekas pelajar terbaik di sebuah fakulti kejuruteraan di sebuah university terkemuka di tanah air. Bukan itu sahaja, Sapar merupakan satu-satunya pelajar yang mampu mencapai tahap yang cemerlang di fakultinya semenjak tahun satu lagi. Tiada siapa yang mampu menyainginya dan mendekati pencapaiannya sepanjang berada di university. Beliau merupakan pelajar kesayangan semua pensyarah kerana kehebatannya dalam akademik dan penerima anugerah dekan dari semester pertama hingga akhir.
Obsesinya kepada bidang kejuruteraan merupakan satu daya gerak yang sangat kuat memangkin kecemerlangannya di dalam bidang ini. Beliau mampu mengingati segala teori yang diberi dan mampu mengaplikasikan teori yang dipelajarinya dengan sangat cemerlang. Tidak hairanlah dia adalah penerima tunggal biasiswa tajaan sebuah syarikat konglomerat tanahair.
Tidur, makan, minum dan berjalannya dipenuhi dengan obsesinya pada bidang ini dan tidak ada apapun yang mampu menghalangnya dari melakukan apa sahaja bagi tujuan memenuhi nafsunya yang besar di dalam bidang ini.
Sapar seorang yang sangat teliti dan teratur. Obsesinya kepada susunan dan garis lurus menyebabkan banyak masanya juga diberikan kepada kerja-kerja memastikan segalanya tersusun dan teratur. Sesiapa sahaja yang pernah ke biliknya akan menyaksikan satu hasil kerja kemas seorang lelaki yang tiada tandingan. Semuanya di tempatnya dan tiada apapun yang bersepah-sepah atau senget benget. Kawan-kawan sefakulti ramai yang takut untuk ke biliknya. Kerusinya pun kalau boleh Sapar tidak benarkan sesiapa duduk. Ini kerana orang lain baginya tidak mampu untuk duduk di kerusinya seperti yang dia lakukan. Seolah ada satu ritual dan prosedur khas untuk duduk di situ. Sapar sanggup menggunakan pembaris untuk memastikan semuanya tersusun.
Di kelas, Sapar juga mempunyai rutin yang kelihatan sangat pelik untuk semua orang. Dia akan masuk ke kelas dengan gaya tangan dan kaki yang sama setiap kali. Kaki kanan dihayun beserta tangan kiri mesti masuk dulu ke dalam kelas. Duduk pun ada cara. Alatan menulis dan susunan buku juga ada caranya bila di meja belajar.
Pakaiannya juga hanya terdiri dari satu jenis bahan yang sama sahaja. Warna pun begitu. Hitam dan putih setiap hari. Sehingga umurnya 30 tahun beliau masih tidak mempunyai lessen kenderaan. Ini kerana kesukarannya untuk mempelajari skil yang diperlukan untuk memandu atau menunggang motosikal. Basikal pun Sapar tidak reti untuk mengayuhnya.
Rutin ini dibawa ke alam pekerjaan. Walaupun 10 tahun tidak berjumpa, Sapar masih dengan gayanya seperti dulu. Kemas, tersusun dan penuh dengan ritual. Kini dia sudah menjadi orang harapan dalam projek-projek besar kerana keupayaannya untuk menyelesaikan masalah dengan sangat baik.
Namun begitu Sapar tidak mempunyai ramai kawan. Bukan kerana dia sombong tetapi sememangnya dia tidak reti untuk berkawan. Perbualannya terlalu formal dengan ayat-ayat yang tersusun dan berskema. Dia juga hanya akan bercerita tentang dirinya sahaja dan tidak berminat untuk mendengar kisah orang lain. Dia sememangnya tidak langsung pandai bergurau. Segalanya serius dan tanpa perasaan. Ramai rakan sekerjanya terasa hati dengan Sapar.
Dia seolah-olah mempunyai hati batu. Langsung tidak peduli masalah orang lain. Sebagai ketua, dia sememangnya tidak disukai ramai kerana pertimbangan kemanusiaan memang tiada dalam kamus hidupnya. Semuanya berprosedur dan berprotokol. Langsung tiada kompromi dalam apa jua perkara. Dia kelihatan tidak mampu untuk berasa simpati atau memahami kesusahan orang lain. Kadang-kadang orang merasakan dia sememangnya tiada emosi.
Pernah seorang rakan sekerja yang kematian ayah tidak dibenarkannya balik hanya kerana rakan itu telah diarah lebih awal untuk ke mesyuarat jabatannya sedangkan ketidakhadiran rakannya itu dengan mudah sahaja boleh diganti oleh sesiapa.
Dia juga tidak akan faham dengan orang yang cakap berlapik. Segalanya kena terus terang. Kerana itu jugalah ramai yang cuba mengelak untuk bertembung dengannya di dalam apa jua keadaan. Tegurannya terlalu kasar dan tidak berhemah. Bahasanya walaupun formal dan tersusun tetapi terlalu pedas utnuk diterima ramai orang. Tiada langsung usaha untuk cuba menegur secara personal. Segalanya dilakukan di hadapan orang ramai. Ramai rakan sekerjanya tidak sanggup bekerja dengannya tetapi dia langsung tidak ambil kisah. Baginya dia seorang pun boleh melakukan segala kerja.
Sapar pernah berkahwin namun perkahwinan yang diatur keluarga tidak kekal lama. Sekadar setahun sahaja. Sapar menceraikan isterinya kerana isterinya tidak mampu mencapai tahap yang diinginkannya. Perceraian mereka berlaku selepas isterinya melahirkan satu-satunya anak mereka yang kini sudah pun berumur 4 tahun.
Jadi, apakah sebenarnya masalah Sapar? Dan bolehkah Sapar dibantu?
Friday, July 29, 2011
NAK INTUBATE TANG MANA NI?
“Woi bro, ko mai tolong aku sat kat casualty, aku tengah blank ni.” Suara Dr Fadli tenggelam timbul di sebalik hiruk pikuk kecemasan di sebuah hospital daerah di negeri Kedah.
“Sat, sat, sat, aku tengah consult makcik ni sat, dia dapat mana tak tau la pucuk mengkudu tu buleh buat ubat kencing maneh, aku bengkek gak ni gula sampai ‘HI’” Dr Zaid membalas. Hari ni memang kalut. Dia cuma berdua sahaja di klinik dengan Dr Ehsan. Pesakit ada 70 orang yang masih menunggu tapi kes kecemasan masih perlu diutamakan. Perlu diberi perhatian serta merta.
“Hang mai la..aku desperate ni..” Dr Fadli seolah merayu.
“Ok-ok sat” Kata Dr Zaid
Dr Zaid sememangnya doctor yang paling senior di hospital ini. Hospital yang terletak di kawasan yang agak pedalaman di utara tanah air ini mempunyai 5 orang doctor muda yang kebanyakkannya terus ke mari sebaik sahaja menamatkan HO masing-masing. Walaupun dikira senior, Dr Zaid pun baru sahaja 1 tahun di sana. Tak ramai doctor yang mahu menunggu di hospital daerah lama-lama. Paling kuat pun 2 tahun. 3 tahun itu mungkin dikira sudah terlalu lama. Cukup sahaja syarat duduk di daerah satu tahun, masing-masing dah sibuk mengisi borang ingin kembali ke hospital besar.
Bukan senang juga untuk bekerja di daerah-daerah kecil. Pakar atau doctor yang senior tiada untuk menjadi pembimbing. Walaupun pakar boleh sahaja dihubungi di hospital besar, ia bukanlah sama kerana kebanyakkan kes mereka perlu berada di sana. Dengan kedudukan hospital yang jauh dari bandar besar, lagilah tidak ramai yang mampu bertahan lama. Bosan terperuk di cerukceruk daerah kecil.
Pernah Dr Zaid terjumpa seorang doctor yang melakukan reaksi yang seolah ngeri bila diberitahu olehnya dia posting di sebuah hospital daerah yang jauhnya 40km dari bandar besar. Dengan market yang terbesat hanyalah bersaiz dua lot kedai dan tiada sumber hiburan lain ia seakan mustahil. Pukul 8 malam kedai-kedai sudah mula menutup kedai mereka.
“Ok, macam ni makcik. Saya terpaksa masukkan makcik ke dalam wad kami hari ni. Makcik punya gula ni sampai tak buleh baca. Tinggi sangat. Saya dah cucuk insulin dua kali dah. Terlalu bahaya makcik.” Dr Zaid .
“Makcik balik dulu sat buleh tak tuan doctor, lembu kat ghumah nu xdak sapa nak bagi makan sat lagi” Makcik Ton cuba main tarik tali. Sudah banyak kali Makcik Ton masuk wad kerana kencing manis yang tidak terkawal. Ubat sememangnya dia tidak makan secara teratur kerana alasan bosan. Dia lebih suka makan akar kayu dan apa jua jenis pucuk yang diberitahu orang mampu memulihkan beliau dari masalah kencing manisnya. Bukan setahun dua. Dah 20 tahun menghidapnya. Kaki sebelah kirinya pun sudah 5 tahun dipotong.
“ Lembu tu tak pa makcik. Sat lagi kita mintak anak makcik yang cikgu tu pi tengok sat pas sekolah. La ni makcik pi teruih ke wad. Sat lagi kita mintak tolong cucu makcik buat pendaftaran. Ikut misi saya ni naik kerusi roda” Dr Zaid membuat kata putusnya. Makcik Ton terlalu banyak komplikasi kencing manis yang perlu diambil perhatian. Jantung, buah pinggang, sejarah angin ahmar dan kaki kanannya yang tidak sihat. Tidak mungkin rasanya untuk beliau membenarkan pesakit pulang begitu sahaja. Dalam kotak fikirannya makcik Ton sudah lebih dari wajib untuk memulakan rawatan insulin yang sudah ditangguh-tangguh sejak beberapa tahun kerana keengganan pesakit ini.
“Okla tuan doctor. Nak buat lagu mana lagi.” Makcik Ton pun tahu bahawa Dr Zaid ni kalau dah membuat keputusan susah untuk dia mengubahnya. Lagi pun ini untuk kebaikkan dirinya juga. Makcik Ton menurut sahaja.
“Kak Bon, saya nak pi casualty sat, Dr Fadli dah telefon kelui saya dah. Sat lagi saya pi habaq kat Dr Yani tolong cover kes saya na.” Ujar Dr Zaid kepada pembantunya.
“Ok doctor” Pembantu jururawat Che Bon membalas ringkas.
Zaid terus berlari pantas ke arah bilik Dr Haryani. Selepas bersembang memberitahu apa yang berlaku dia terus menuju ke wad kecemasan yang terletak 100 meter dari jabatan pesakit luar. Hari ini ada 4 oran doctor di hospital. Bila dr Sajad sudah selesai di wad, ada dua orang doctor yang akan menjaga klinik pesakit luar.
Sesampai sahaja Zaid di kecemasan dia terus mula menyibukkan dirinya. Kedengaran di kubikel merah suara seperti menggelegak dan terbatuk-batuk jelas ke gegendang telinganya. Di hadapan kubikel itu penuh dengan terlalu ramai orang biasa. Suara staf yang cuba mengawal keadaan juga berselang seli dengan keriuhan suasana.
“Cik Mad, tolong minta semua clear sat depan kubikel tu. Suruh semua tunggu luaq. Wakil keluarga sahaja saya mahu ada di dalam ni.” Dr Zaid mengarahkan Pembantu Pegawai Perubatan Mohamad untuk menjalankan kerja pertamanya.
“OK bos”
“Ok-ok semua mintak tolong tunggu kat luar sat..doktor nak buat kerja. Suami tunggu sini. Hat lain dok kat tempat menunggu kat depan nu” PPP Mohamad menjalankan tugasnya. PPP ini memang cekap dalam melaksanakan arahan. Dia juga sememangnya boleh diharap untuk membantu dalam kes kecemasan. Senior PPP sepertinya amat membantu doctor-doktor muda menyesuaikan diri di hospital daerah. Kekurangan pengalaman doctor-doktor ini ditampung oleh kecekapan PPP sepertinya.
Orang ramai mula berlalu pergi. Zaid sudah siap membasuh tangan, memakai topeng muka dan sarung tangan. Apron plastic juga sudah siap dipakainya. Mudah untuk terus beraksi nanti.
Di dalam kubikel, penuh dengan staf-staf yang juga mahu menumpang tengok. Pemandu, PPK, JM hinggalah bidan wad bersalin pun ada. Masing-masing sibuk untuk mengambil bahagian.
“OK, saya nak Cik Mad, Kak Zan dan PPK Lan je kat sini. Staf lain minta keluar sat” tiga orang itu bersama Dr Fadli sudah cukup untuk membantu dalam kes kecemasan biasanya. Kak Zan, seorang jururawat memang cekap dalam menyediakan ubat dan memasukkan IV line. Cik Mad sememangnya boleh membantu dalam apa sahaja perkara. Intubasi pesakit pun dia boleh lakukan dengan mudah. PPK Lan pula cukup besar dan pantas untuk membantu bahagian teknikal yang lain.
Zaid terus mengambil alih kes tersebut tanpa berfikir panjang.
“OK bro, per citer?” Zaid cuba mendapatkan gambaran kes tersebut.
Dr Fadli terus membuka tuala putih yang menutupi leher pesakit kami yang berkeruh seperti ayam kena sembelih itu. Tuala itu pun dah tak berapa putih kerana dipenuhi darah.
“Perghhhhh…” Dr Zaid memegang lehernya sendiri. Kelihatan leher pesakit terbuka luas dengan trakeanya terpotong dua seolah disembelih. Darah terpercik ke udara setiap kali pesakit ini beliau menghembuskan nafasnya. Pesakit wanita ini kelihatan tidak diam dan meronta-ronta.
“Aaaa…valium 5 stat” Dr Zaid memulakan aksinya.
“OK siap bos. IV Valium 5.” Kak Zan menjawab ringkas.
“Macam ni bro. Kakak ni 28 years old malay lady, underlying schizophrenia but defaulted since last child birth 1 month ago. Husband nampak dia dah tak well dari sebelum beranak lagi tapi nak bagi ubat tak berani sebab mak mentua tak bagi. Depa takut ubat tu kesan kat baby” Dr Fadli member gambaran.
“Then?” Dr Zaid mengorek lagi.
“Seminggu ni husband dia Nampak dia start tak mau buat pa dah kat ghumah, mandi tak mau, makan kena suruh, anak pun tak mau jaga dah. Dia kata ingat nak tunggu pas pantang la baru nak bawak balik sini untuk start antipsychotic dia” balas Dr Fadli.
“Pas tu” Dr Zaid terus bertanya sambil sibuk membelek luka pesakit ini.
“Dr, IV Valium 5 ready” Kak Zan menegur ringkas.
“OK, bagi IV stat” Dr Zaid membalas.
“OK, given” Kak Zan membalas lagi.
Sememangnya dah menjadi prosedur untuk mereka memberitahu setiap perkara yang berlaku di dalam kecemasan agar tiada kesilapan dalam komunikasi berlaku terutamanya berkenaan pemberian apa-apa jenis ubat dan prosedur. Ini untuk memastikan setiap langkah dalam perawatan jelas dan tidak tertinggal.
Kadar oksigen pesakit ini masih bagus walaupun beliau tidak diam dan meronta-ronta. Tak sampai 2 minit, pesakit mula bertenang selepas diberi IV Valium. Namun pernafasannya masih berdengkur dan darah masih lagi terpercik ke sana sini.
“Cik Mad prepare untuk intubation” Arah Dr Zaid kepada PPPnya.
“Ok bos” Cik Mad menjawab.
“Apapun kita kena intubate gak patient ni before kita hantar ke Alor Setar. SpO2 dia pun sat naik sat turun. Aku takut dan dia letih kita jenuh nak maintain SpO2 dia. Labour breathing macam ni bukan boleh tahan lama bro.” Sambung Dr Zaid.
“Itu la pasal. Aku nak intubate dah tadi ni tapi aku try ikut atas hujung ET tube tu cukup-cukup kat opening wound tu. Redundant bro.” Dr Fadli membalas.
“Tak pa. sambil depa siapkan intubation set, kita pikiaq sama. Macamana boleh end up macam ni?” Dr Zaid cuba mengorek cerita.
“Macam ni bro, tadi aku dan la sembang sikit-sikit dengan dia, dia kata dia cut throat dia sendiri sebab ada orang suruh dia buat. Orang tu sebenarnya auditory hallucination dia sahaja tapi dia dah deluded la bro. dia ikut pi la suara tu. Pagi tadi masa husband dia baru nak pi menoreh, dia pi amik pisau kat dapur terus dia slash tengkuk sendiri. One clean cut and over bro.” Dr Fadli bersungguh-sungguh bercerita.
“Nasib baik dia tak potong jugular or carotid kalau tak aku rasa dia tak dan mai hospital. Bleed to death” Tangan Dr Zaid sibuk membelek luka dan memeriksa salur darah utama pesakit itu. Vena jugular jelas terbonjol keluar di tepi luka. Di belakangnya arteri carotid berdenyut keras mengikut rentak jantung. Kalau mana-mana pun salur darah itu terpotong sudah cukup untuk pesakit itu mati kerana kehilangan darah.
Dr Zaid sedang sibuk berfikir macamana dia nak menyelesaikan masalah ini. Nak dijahit luka itu, dia tidak berpengalaman. Lagipun macamana dia nak berhentikan pendarahan dari bahagian atas luka sembelih itu. Ada satu lagi luka yang mengarah ke atas yang sukar untuknya melihat keterukannya. Dia juga tidak dapat memastikan salur darah yang mungkin putus atau luka.
Jika dia tutup trakea itu maknanya tiada peluang untuk memastikan pendarahan itu sudah berhenti atau tidak. Di hospital kecil mana ada kemudahan ‘scope’. Buat masa ini dia Cuma mampu menekan bahagian atas trakea untuk memberhentikan luka manakala bahaian bawahnya diletakkan ‘oral airway’ iaitu sejenis alat yang biasanya diletakkan ke dalam mulut untuk memastikan lidah tidak terjatuh ke dalam salur pernafasan bagi pesakit yang tidak sedarkan diri. Sekurang-kurangnya pesakit ini sekarang bernafas terus melalui rongga trakeanya dan bukan hidung lagi.
“Macamana aku nak buat ni. Sat lagi patient sedar maknanya nak kena sedate balik dengan valium lagi” Getus hati kecil Dr Zaid.
“Ko ade idea bro?” Tanya Dr Zaid pada Dr Fadli
“Kalau aku ada idea aku tak pangge hang la…” Dr Fadli menjawab sambil menggaru kepala.
“OK macam ni. ET tube dah ready Cik Mad?” Dr Zaid bertanya kepada PPP Mohamad.
“Ready bos. Saiz apa bos?” PPP Mohamad bertanya kembali.
ET Tube adalah sejenis alat yang digunakan sebagai salur pernafasan untuk pesakit yang memerlukan intubasi dan tidak sedar. Sangat penting untuk memastikan oksigen sampai ke peparu dengan baik.
“Kak Zah amik satu tampoon” Dr Zaid mengarah sambil merujuk kepada satu alat seperti tuala wanita yang digunakan dengan cara meletakkannya di dalam vagina.
“Nak buat apa dengan tampon Dr?” Jururawat Norazah bertanya.
“Amik dulu. Saya ingat nak jadikan macam tamponade untuk upper trachea dia” Jelas Dr Zaid
Dr Zaid mencapai ET Tube bersaiz 7 dan disapukannya KY Jelly sebagai pelincir. Dr Fadli sibuk menyediakan IV muscle relaxant dan sedation. Dr Zaid mengukur ET Tube pada dada pesakit itu yang menyebabkan kawannya Dr Fadli sekali lagi menggaru kepala. Sepatutnya ET Tube bukan diukur begitu. Kak Zah yang baru sampai diarahnya meletakkan tampon ke dalam rongga trakea bahagia atas yang masih berdarah. Pesakit mula sedar kembali.
“Ko dah ready bro?” Tanya Dr Zaid pada Dr Fadli.
“Semua drug ready” Jawab Dr Fadli.
“Ko bagi sekarang” Arah Dr Zaid
DR Fadli terus melaksanakan arahan dari kawannya itu. Mula sahaja pesakit hilang kesedarannya dan hilang keupayaan ototnya Dr Zaid terus melakukan proses intubasi. Dengan cara ‘blind technique’ Dr Zaid terus menyumbatkan ET tube itu ke dalam trakea bahagian bawah yang terbuka. Dia menolak masuk sehingga ke sempadan atas sternum pesakit.
“OK, anchor” Dr Zaid memegang ET tube manakala PPP Mohamad mengikat ET tube itu ke leher pesakit untuk memastikan ianya tidak bergerak-gerak atau tercabut. Dr Fadli mengambil alih melakukan bagging secara manual. Paparan vital sign diperhati bersama. SpO2 kekal di tahap seratus peratus.
“Ok. Call Alor Setar. Send patient stat. Saya akan pi sekali. Bang Lan minta tolong panggil driver bawa ambulans depan ni” Dr Zaid melakukan arahan serentak kepada ke semua yang ada.
Dr Fadli terus merujuk kes ini kepada pasukan yang berkenaan di Hospital Alor Setar. Pasukan ENT dan Psikiatri dimaklum serentak. Ambulans dengan segera sudah tersedia di hadapan unit kecemasan. Dr Zaid, Jururawat Norazah dan PPK Roslan bersama membawa pesakit ke dalam ambulans. Suami pesakit juga turut serta di dalam ambulans
Ambulans meluncur terus menuju ke selatan ke arah bandar Alor Setar. Dalam masa 40 minit mereka Berjaya tiba ke sana dengan selamat. Pasukan kecemasan dari Hospital Alor Setar terus mengambil alih perkhidmatan. Walaupun intubasi Dr Zaid agak luarbiasa namun ianya Berjaya menyelamatkan nyawa pesakit tersebut.
Sebulan kemudian pesakit datang kembali bersama anak dan suaminya ke hospital daerah itu. Sudah sihat dari masalah psikiatri dan ENTnya. Walaupun suaranya sedikit parau tetapi sekurang-kurangnya tiada komplikasi serius yang lain yang berlaku.
Dr Zaid tersenyum puas.
Sunday, July 24, 2011
LOVE STORY: PART I
Wednesday, July 13, 2011
WOI ROSTAM!!
Wednesday, June 29, 2011
OPEN YOUR EYES
Monday, June 20, 2011
TRAGEDI WHITE COAT DAN COKLAT NIPS
Hari itu seperti juga hari-hari biasaku sebagai houseman yang berusia seminggu di Hospital Melaka. Wad surgery sibuk seperti biasa dan aku yang masih kurang cekap melakukan prosedur terpaksa mengorbankan masa tengahariku melakukan kerja-kerja yang tidak pernah habis. Hari itu juga seperti biasa untuk ku kerana rutinku mencari makan tengahari membuatkan aku berjalan pantas ke kedai hospital sambil melompat turun naik tangga. Lif terlalu lambat untuk seorang houseman. Setiap minit terlalu berharga.
Dengan white coat yang telahpun ku pakai sejak zaman pelajar masih di badan, aku berlari pantas cuba mencuri masa mengisi perut. Setiap selekoh dan halangan di hospital itu telah kuhadam. Hospital adalah duniaku sejak seminggu ini.
Coklat NIPS adalah sumber glukosku di sela sibuk di wad. Nasi? Itu bukan makan tengahari houseman tu. Tak dan. Makan sambil mengisi borang dan curi makan sahaja sambil pergi katil ke katil. Tak sempat nak duduk pun. Memang dah jadi sebahagian dari barang-barang wajib dalam white coat. Coklat, gula-gula dan apa sahaja yang sangat mudah dibawa dan mudah dimakan.
Bila sudah bergaji, 'energy bar' lah barang wajib dalam poket. Tak hairanlah badanku yang sedia kurus kering menjadi semakin kering.
Duniaku di wad adalah dari bulan ke bulan juga. Tak sempat nak melihat matahari. Inilah sahaja masanya aku mahu melihat matahari dan menyegarkan nafas yang sudah hafal dengan bau melaena dan nanah.
Namun hari ini memang luar biasa…
“Ha..tu dia doktor!” Ayat itu singgah dipendengaranku sedang aku bergegas mencuri masa di sela kesibukan sebagai houseman mencari sebungkus coklat NIPS habuan rutin makan tengahariku. Mulanya tidak ku pedulikan keriuhan itu kerana maklum sajalah, hospital dan hiruk pikuk cemasnya sudah menjadi agak lazim untuk seorang doktor muda sepertiku yang baru seminggu bertugas sebagai houseman.
Tapi kali ini ia berbeza. Ayat itu bukan datangnya dari pesakitku di wad surgery tetapi di depan kaki lima hospital di tengah-tengah kesibukkan orang keluar masuk melawat. Dan aku pun bukanlah mahu ambil pusing sangat kerana panggilan doktor terlalu baru untuk diriku untuk bereaksi sepantas kilat. Masih terlalu mentah dan baru untuk membiasakan diri dengan panggilan itu.
“Doktor!!” Sekali lagi. Sedangkan aku makin hampir ke tempat tujuanku. Aku ada kurang 5 minit untuk membeli NIPS dan lari balik ke wad. Tiada masa untuk melayan perkara lain tetapi kali ini aku semakin sedar. Kumpulan orang ramai itu sedang memanggil aku.
Tersentak dan tergamam.
“Alamak” getus hati kecilku sambil memaling muka kea rah sekumpulan orang yang mata mereka semuanya tertumpu kepadaku. “Doktor, meh sini tolong cepat!!” Seorang lagi memaksa aku mengheret kaki dengan laju ke arah mereka. “ Apa pulak ni…” Sambil hati kekalutan memikirkan ‘bala’ apa pula yang menimpa aku yang masih setahun jagung ini.
Semakin hampir ke kumpulan ramai itu makin jelas terdengar suara orang ramai kekalutan cuba mengawal keadaan. Ada yang cuba menjadi pengawal dan pula yang menjadi seolah-olah dinding menyembunyikan sesuatu dari pandangan. Suara-suara itu bercampur baur dengan suara jeritan dan tangisan. Nampaknya ada ‘disaster’ di dalam van yang sedang dikepung oleh begitu banyak badan manusia itu.
Otak mula ligat. Hati makin kalut. Jantung makin laju. Makin dekat makin ragu.
Sambil aku berjalan laju ke arah mereka, mereka makin kuat berteriak menyuruhku cepat memaksa aku berlari dalam paksa. Mahu sahaja aku menjerit memberitahu dunia aku cumalah doktor junior yang berusia tak lebih dua minggu. Kecemasan agak asing bagiku lebih-lebih lagi di tengah orang ramai sebegini di luar jabatan kecemasan yang biasa ku lawati semasa masih bergelar pelajar tak lama dulu di UKM.
“Aku nak buat apa ni?” Getus hati.
Sesampainya aku di pinggir kumpulan itu beberapa pasang tangan terus menarik ku ke tengah ‘medan’ yang tak pasti ini. Seolah rohku tertinggal di belakang.
Nah! Itu dia. Seorang wanita muda dengan darah penuh dipakaiannya menyeringai menahan sakit. Darah terus menitis ke jalan tar dicampur dengan bau hanyir yang sememangnya aku dah terlalu biasa tetapi tidak ingat di mana.
“Kepung doktor! Jangan bagi orang tengok!” Kata seorang lelaki separuh baya disisiku. “Pakcik kena bawak kecemasan ni pakcik” Sambil aku pula yang kepucatan cuba memberi cadangan. “Tak dan dah..” keluh wanita muda yang dibasahi darah itu.
Aku terus ditolak ke depan wanita itu dan dia terus menyelak kainnya.
“Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Nanti! Nanti!” Itulah ayat pertamaku.
Di celah kain itu kepala seorang bayi yang kebiruan tersangkut di bukaan vagina ibunya. Biru seperti aku juga yang rasanya hampir menjadi biru. “Doktor tolong anak saya” Teriak seorang lelaki di tepi ku. “Tolong? Alamak!” Sekali lagi hatiku berkata. Aku yang panik.
Tanpa kusedari tanganku dah mencapai kepala bayi itu. Terlalu panik.
Sarung tangan getah? Tak ada
Gaun Hijau dan topeng penutup hidung? Tak ada.
Bidan dan gunting pemotong tali pusat? Tak ada.
Cuma aku dan sekumpulan manusia yang sekalut aku tetapi seolah-olah terjumpa penyelamat mereka iaitu seorang aku. Mereka lega aku yang kalut. Lebih kalut dari si kalut.
Cuba ku tarik bayi itu keluar tanpa berfikir panjang. Tersangkut. Tak terlintas pula untuk aku memeriksa samada ada apa-apa yang menyekatnya seperti yang diajar dulu. “Tak boleh doktor..sangkut” kata si ibu muda itu. “ Dah macamana?” Aku pula yang bertanya sambil tangan masih kalut membelek kepala bayi itu.
Dah lama aku meninggalkan O&G zaman pelajarku. Mungkin hampir setahun. Dan tak pernah ku membantu kelahiran keseorangan sebegini.
Ku cuba sekali lagi kali ini dengan lebih berfikir. Oh!Tali pusat dia. Sangkut. Ketat.
Ku tolak kepala bayi itu dan kutopang bahunya untuk melonggar jerutan itu. Longgar. Ku buang tali pusat yang menjerut leher bayi itu. Bayi itu pun seolah meluncur keluar dan terus menangis. Memerah memadam kebiruannya tadi.
“Haaaaaaa…..” Serentak termasuk diriku. “Pandai doktor” Puji orang di sekeliling. Aku bukannya bangga tapi lega. Mungkin lebih lega dari semua orang di situ.
Dan macam filem Hindustan, bila semuanya selesai, jururawat dari wad bersalin pun sampai. Tali pusatnya dipotong dan aku terus berlalu bilamana mereka mengambil alih bayi dan ibu itu. Tak sempat untuk buat apa lagi. Maklumlah, houseman yang baru seperti ku terlalu takut untuk lewat kembali ke wad.
Tangan dibasuh. Coklat NIPS dibeli dan aku terus berlalu ke wad di tengah ucapan terima kasih orang di sekelilingku. Tiba-tiba terasa seronok. Bukan seronok dipuji tetapi seronok kerana aku baru sahaja menyenangkan hati begitu ramai orang. Kali ini tiba-tiba coklat NIPS menjadi terlalu sedap. Hati berbunga gembira walaupun hariku masih panjang lagi.
Jalanku seolah mempunyai spring. Bersemangat dan yang pastinya sengihku kali ni berbekas sampai ke malam.