Wednesday, July 13, 2011

WOI ROSTAM!!

"Doktor, Dr RL nak cakap dengan doktor kat telefon. Now" kak jururawat tiba-tiba datang mengganggu aku yang tengah tekun membuat prosedur di katil belakang wad.

"OK" jawab ku ringkas.

Tak berani nak mengatakan tidak kalau pakar sedang menunggu di hujung talian. Kalau tak pergi, jawabnya masaklah aku dimaki nanti. Selalunya mereka tidak akan menerima alasan kita sedang sibuk melakukan apa-apa pun. Sedang membuat CPR pun prioritinya masih panggilan dari pakar. Tapi bukanlah semuanya begitu, pakar-pakar seperti Dr RL sahaja yang perlu dilayan begitu.

Entah apa sebabnya, aku pun tak faham sehinggalah sekarang. Kalau perangai ini disandarkan sebagai proses pengajaran, aku rasa tidak juga. Mungkin sekadar rasa bongkak dan ujub kerana sudah bergelar pakar. Entahlah.

Terkocoh-kocoh aku menutup luka kaki pakcik yang sedang ku 'kerjakan' itu.

"Maaf uncle, saya terpaksa pergi telefon kejap, kejap lagi saya sambung balik" Kata ku kepada pakcik India yang sedang ku layan tadi. Mesra orangnya. Sempatlah kami berborak-borak sambil membersih dan membalut lukanya. Kemalangan motosikal semalam. Langgar anjing. Kat depan rumah je.

Aku pun terus berlari ke kaunter. Tidak mahu pakar itu menunggu lama. 1 minit itu pun dah kira terlalu lama. Hari ini aku seorang je di wad. Kawan baikku Denis di klinik.

"Takkan da nak suruh aku ke klinik juga kot? Kang sape nak cover wad ni? Si Fidah pun sorang-sorang jugak kat wad sebelah, Oncall pulak tu" Getus hati ku.

"Hello Dr RL" aku menyapa.

"Woi Rostam!! Why it takes you years to pick up the phone? You tidur ka?" Balasan sopan dari pakar ku di hujung talian.

"Sorry Dr." Jawab lebih pun tak guna juga lagi panjang pulak dia membambu aku nanti.

"Ha ni, minggu lepas ko ada discharge patient nama Abu bin Ali tak?"

"Ye bos" Dengan pantas aku menjawab sebab memang aku pun yang discaj pakcik tu. Aku ingat lagi dia duduk di katil 11 sub akut.

"Ko ada bagi dia MC?"

"Ada bos" Apahal pulak dengan MC tu? Otak mula berfikir.

"Kau tak reti tulis MC ke?" Serang Dr RL lagi. "Aaaaaa...tak pasti bos"

"Kau check tak MC ni ada depan belakang ke tak?"

"MC tu ada depan je bos, belakang kosong" Pandai pulak aku menjawab. Sebenarnya memang itupun yang aku maksudkan. Tak faham kenapa dia bertanya begitu. Sebenarnya itulah kali pertama aku menulis MC. MO yang suruh kerana pakcik tu perlukan MC lepas waktu pejabat jadi MO yang oncall arahkan aku yang tandatangan. Ikutkan peraturan memang HO tak boleh tapi aku sign bagi pihak dia yang sibuk di kecemasan.

"Pandai ko jawab, lain kali ko pakai mata ko yang ada stile tu betul-betul. Pastikan depan belakang ada tulisan. Ko reti tak?"

Sememangnya kelopak mataku ada sedikit bengkak di bahagian atas kiri. Dah dua bulan tak baik-baik. Entah kuman jenis apa pun aku tak tau. Tapi hatiku panas dengan ayat itu. Sangat menghina.

"Ok bos" Jawab ku ringkas. Ku ingat setakat itu sajalah makinya hari itu. Rupanya disambung lagi. Masih tak berpuas hati.

"Make sure ye Rostam. Next time you buat I akan tumbuk mata kiri kau tu kasi pecah terus you punya stile baru kau tau" Sekejap 'you' sekejap 'kau'. Di belakangnya terdengar bunyi orang ketawa terbahak-bahak. Wah, ada yang sedang seronok mendengar perbualan kami melalui telefon.

"Ko dengar tak ni?" tambahnya lagi

"Ye boss" kataku ringkas.

"Satu lagi, ko HO jangan nak pandai-pandai sign MC, ko jangan fikir ko besar dah. Sedar sikit ko tu HO lagi." Dengarnya macam sengaja dipanjang-panjangkan perbualan itu.

"OK bos" Aku terhina, malu dan terlalu marah. Aku yang tadi sedang bersemangat membuat kerja terus hilang minat. Hangin dengan mulut kurang ajar pakar itu tadi. Tak pernah dia bercakap begitu kasar. Kalau setakat 'monkey', 'donkey', 'stupid' kami HO dah terlalu biasa tapi yang ini terlalu melampau. Dan aku sebenarnya tak pernah dimarahi pun oleh mana-mana pakar sehinggalah ke hari itu.

Aku meletakkan gagang selepas beberapa ketika pakar itu meletakkannya. Panas telinga ku dihamun di dalam telefon masih belum habis. Dalam hati beristighfar berkali-kali menahan marah. Geram kerana dilayan begitu. Bukankah bercakap secara baik lebih baik. Kadang-kadang aku terfikir juga mereka ini datang dari medical school mana. Kurang ajar dan sangat tidak berhemah.

Yang menambahkan kegeramanku ialah apabila terdengar gelak tawa orang-orang di belakangnya dan caranya menjadikan aku bahan lawak. Seronok benar mereka di hujung talian. Tak pernah lagi aku diperlakukan begitu walaupun oleh Dr S yang terkenal dengan keganasan mulutnya. Tak pernah Dr S memarahi aku. Apa yang seronok sangat tu aku pun tak tahu.

Sejak hari itu tiada lagi rasa hormat padanya. Orang sepertinya tak perlu dihormati kerana tak reti nak menghormati orang lain. Gembira dan seronok memalukan orang lain. Walaupun sejak hari itu dia cuba berlembut kepada ku tapi aku tidak cuba pula bermesra-mesra. Sentiasa bersikap profesional dan serius dengannya walaupun dia cuba membuat lawak. LAwaknya tidak akan menjadi kelakar bagiku.

Hangin satu badan.

1 comment: