Wednesday, May 2, 2012

EKSPERIMEN PATUNG BOBO


Mungkin ramai yang tidak ada idea langsung apa yang cuba saya sampaikan melalui tajuk yang saya letakkan dan mungkin juga tajuk lawak ini tidak mengandungi apa-apa makna pun. Sememangnya tiada di dalam bahasa kita eksperimen yang dipanggil seperti di atas tetapi ada eksperimen yang dipanggil ' Bandura's bobo doll experiment' di negara barat. Bagi pembaca yang beraliran sains mungkin perkara ini sudah menjadi lumrah semasa belajar dulu tetapi mungkin tidak begitu kepada sahabat-sahabat yang lain. 

Eksperimen

Sebagaimana apa-apa jua eksperimen yang dilaksanakan, tentulah ianya mempunyai objektifnya yang tertentu dan eksperimen ini sebenarnya satu eksperimen yang dilakukan ke atas manusia -secara spesifiknya: kanak-kanak- untuk melihat tindakbalas mereka terhadap sesuatu keadaan. selayaknya seperti mana-mana eksperimen, beberapa kesimpulan dibuat berdasarkan hasil akhirnya nanti.

Jadi eksperimen apakah ini? Eksperimen ini telah dilakukan oleh seorang pakar psikologi yang dipanggil Albert Bandura. Beliau ingin mengkaji kesan kelakuan agresif kepada diri kanak-kanak. Dalam bahasa mudahnya, beliau ingin tahu reaksi kanak-kanak kepada kelakuan agresif yang disaksikannya dalam aktiviti seharian seperti dari TV, menonton wayang, perilaku ibu bapa dan sebagainya. Yang lebih mudah lagi, adakah anak-anak kita akan bergusti jika dia menonton cerita gusti atau adakah dia lebih zalim jika dia dibiarkan menyaksikan sesuatu kezaliman berlaku.

Seramai 72 orang kanak-kanak, sama banyak lelaki dan perempuan berumur lingkungan 3 ke 6 tahun telah dipilih menyertai eksperimen ini. Mereka dipecahkan kepada 3 kumpulan yang sama banyak bilangan kanak-kanak lelaki dan perempuan. Kumpulan pertama: kumpulan kawalan, kedua: kumpulan 'nonaggressive' dan ketiga: kumpulan agresif. Kanak-kanak ini telah didedahkan oleh perlakuan agresif oleh orang dewasa terhadap patung Bobo yang tersedia di dalam bilik dalam eksperimen ini. mereka didedahkan dengan tiga natijah perlakuan agresif orang dewasa tersebut. Natijah 1: tiada apa-apa berlaku, natijah 2: orang dewasa itu didenda dan natijah 3: orang dewasa itu diberi hadiah. 

Kanak-kanak ini diasingkan bersendirian untuk mengelak dia dipengaruhi oleh rakan-rakan lain dan seterusnya diletakkan dalam suasana sekitaran yang kondusif untuk bertindak agresif. Keadaan ini sengaja dilakukan untuk melihat bagaimana kanak-kanak akan bereaksi dengan kelakuan orang dewasa secara semulajadi tanpa pengaruh rakan sebaya.

Hasilnya
  1. Kanak-kanak banyak belajar melalui pemerhatian dan peniruan seperti di dalam teori pembelajaran social (social learning theory)
  2. Perlakuan agresif dikalangan kanak adalah lebih tinggi di kalangan kanak-kanak yang menyaksikan perlakuan agresif di mana 38 kali ganda di kalangan kanak-kanak lelaki dan 13 kali ganda di kalangan kanak-kanak perempuan.
  3. Perlakuan meniru 'verbal agression' juga meningkat di kalangan kanak-kanak di mana 17 kali ganda bagi lelaki dan 15 kali ganda bagi perempuan
  4. Kanak-kanak mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk bertindak agresif jika melihat orang dewasa yang mempunyai seks yang sama melakukan perlakuan agresif tersebut
  5. Model dewasa yang tidak agresif pula tidak semestinya akan menurunkan kadar kecenderungan kanak-kanak untuk berlaku agresif dalam sesuatu keadaan
  6. Kanak-kanak lelaki lebih cenderung bertindak agresif berbanding kanak-kanak perempuan
Kesimpulan

Mungkin ramai yang tidak ambil pusing rancangan apakah yang ditonton oleh anak-anak kita tetapi percayalah di peringkat kanak-kanak berumur lingkungan ini mereka seumpana tanah liat yang sedia dibentuk. Kecenderungan nafsu manusia yang sememangnya telah wujud di dalam jiwa manusia telah pun wujud di dalam jiwa kanak-kanak kita dan cuma memerlukan sedikit 'galakan ' untuk dimanifestasikan. Mungkin sesetengah ibu bapa seronok melihat anak- anak meniru perilaku apa yang ditontonnya di dalam TV tetapi natijah jangka masa panjangnya akan terus menghantui ibu bapa itu sampai bila-bila.

Tiada ruginya ibu bapa mengawal cerita tontonan kanak-kanak samada bersifat agresif atau tidak kerana segala perkara negatif yang ditontonnya pasti akan tersimpan di dalam jiwanya dan mungkin akan diaplikasikan bila tiba masanya. Mungkin bukan dengan perbuatan tetapi dengan hati yang mangli melihat kemungkaran. Lebih buruk lagi jika dewasa mereka nanti menjadi salah seorang yang akan menegakkan segala perkara mungkar kerana ia seolah menjadi lumrah dan menidakkan maaruf.

Lihat sahaja masyarakat kita hari ini. Kerana terbiasanya mereka melihat perkara mungkar dan melakukan yang mungkar, menutup hati mereka dari melihat cahaya. Mereka berbangga atas dasar kebebasan hak asasi manusia dan bermati-matian menyokongnya. Ini tidak lain dan tidak bukan kerana sejak kecil lagi mereka diasuh bahawa segala jenis yang mungkar itu indah dan cantik belaka (rewarded). Lihat sahaja marahnya mereka bila ahli agama mengeluarkan sesuatu fatwa atau sekadar menyatakan yang hak. Marahnya mereka kerana dalam kotak fikiran mereka perlakuan ini perlu dianugerahi bukan dibalasi.

Begitu kuatnya pengaruh ini menjauhkan orang kita sendiri dari agamanya. Pemakaian tudung, perzinaan atau perlakuan yang sewaktu dengannya, homoseksual, arak, dadah, rempit dan sebagainya. Berapa banyak kisah artis, filem, rancangan tv dan apa sahaj bentuk iklan yang menggambarkan inilah sebenarnya cara hidup manusia. Cara hidup yang jauh menyimpang tetapi disokong, ditatang ditegak dan dijihad mati-matian. Golongan-golongan inilah yang menjadi 'idola', yang dinobat sebagai pembawa gaya hidup moden, disanjung dan dijunjung tanpa ada batas agama dan akhlak.

Eksperimen ini mungkin ringkas tetapi hasilnya sudah pasti digunakan lagi dan lagi bagi mereka yang ingin merosakkan anak-anak kita. Inilah cara yang terbaik untuk menjahanamkan anak-anak kita. Yang mungkar dijunjung, disanjung, diberi publisiti habis-habisan, ditayang berulang-ulang kali dan dicatat dalam buku-buku sebagai lambang ketamadunan yang menghampiri binatang. Manakala yang makruf diselit sekadar melepas batuk di tangga, sebagai syarat agar orang yang sedar tidak bersuara dan sekadar rutin memenuhi acara. 

Mampukah kita menutup segala ruang ini atau kita patut menyerah kalah sahaja dan biarkan takdir menentukan nasib anak-anak kita. 

Ingat, kita adalah penentu halatuju anak-anak kita. samada berperangai serupa apa, cuma kita yang mampu menuntun mereka. Kasihi masa depan anak-anak kita. Jangan biarkan mereka juga terpesona dengan perengkap dunia ini dan ditipu dan seterusnya menjadi pengkhianat hak diri untuk memiliki kasih Tuhannya.

No comments:

Post a Comment