Hari itu seperti juga hari-hari lain yang aku oncall bukanlah hari yang sangat indah. Walaupun cuaca sangat baik, tenang dan aman tetapi ribut di dalam hati tidak mampu terpadam dengan keindahan cuaca di luar. Walaupun dah bertahun mengerjakan kerja-kerja oncall ini, hati masih gundah gulana. Apa yang disentuh semua tidak seronok. Jantung berdegup dan berdegap. Cemas 24 jam. Nama pun jaga kecemasan, memanglah cemas.
Kuala Nerang memang cantik dan tenang. Tidak kalut dan tidak sesibuk mana. Aman damai. Cuma doktornya sahaja yang bagaikan terlupa makan ubat penenang. Tidak tenang sedari pagi sampailah sekarang pukul 4 petang. Menunggu di dalam bilik oncall macam duduk dalam kandang. Gelisah, panas. Terpusing-pusing ke sana ke mari. Serba tidak kena.
Nak keluar ke mana-mana, takut dipanggil tiba-tiba. Tahan sahajalah.
Pukul 4 petang, pembantu pegawai perubatan yang bertugas menelefon. Katanya ada seorang pakcik datang dari Pedu mengadu sudah tidak buang air besar selama seminggu.
Seminggu? Yup! Seminggu. Sebelum ini hari-hari katanya. Seminggu dah tidak buang air besar datang petang sabtu? Klasik!!
MAsalah? Pakcik ni terasa nak buang tapi tak keluar. Kalau ikut cerita anaknya, samapai terguling-guling di rumah meneran. Keluar sebesar tahi kambing.
Tahi kambing bulat-bulat. Macam biji makjun. Aku pun dah lama tidak melihat tahi kambing.
OK, baik, doktor dalam perjalanan. Bukan jauh mana pun. Kecemasan dan bilik doktor dipisahkan oleh dinding sahaja. Kalau ada pesakit yang terjerit di sebelah pun pasti aku dengar.
Baik. Apa kes? Kesnya, sembelit dah seminggu, kali pertama jadi, tak ada tanda-tanda lain selain dari sembelit. Tidak muntah, tidak demam, tidak toksik.
Tidak toksik? Yup! ala-ala normal la nak mudah katanya. Nak terang susah juga di sini. Dipendekkan cerita aku pun memulakan tanggungjawabku kepada pakcik malang ini. Umurnya sudah 74 tahun. Duduk berseorangan di rumah. Anak-anak ada, tetapi masing-masing sudah berumahtangga dan duduk sedikit jauh dari pakcik ini. Pakcik memang tidak ada sakit apa-apa. Kuat lagi kalau lihat pada tubuh badannya. Dengan muka yang berkerut, pakcik cuba untuk memberikan segala maklumat yang aku perlukan. Sekali-sekali mukanya meneyeringai kesakitan. Memegang perut. Mengerekot.
Kenapa pakcik? Rasa nak keluar tapi tidak keluar-keluar. Sudah pergi ke klinik swasta. Makan ubat dekat sebotol. Tak jalan.
Pernah pakai ubat yang pam tu pakcik? Sudah. anak bagi yang dia dok pam kat cucu. Tak jalan.
Baik. Biar kami cuba bantu. Mula-mula kita cucuk ubat tahan sakit dulu ya pakcik.
Cucuk pi la doktor...tak tahan ni...aduhhhh...
OK! Voltaren 50 stat.
Ready! Cucuk.
Saya periksa pakcik sikit ya.
Buka baju pakcik. Kain kena londehkan sedikit.
Keras perut pakcik ni. Distended. Macam ada mass kat suprapubic and left inguinal region. Keras berketul-ketul. Mobile. Tidak sakit bila ditekan. Katanya bila aku tekan, rasa nak buang lebih kuat. Hmm..per rectal la jawabnya. Sebahagian dari pemeriksaan bahagian perut melibatkan pemeriksaan di bahagian dubur dan di bahagian depan juga.
Pakcik diminta baring mengiring untuk memudahkan aku memeriksanya. Pemeriksaan ini hanya menggunakan jari sahaja. Lainlah kalau aku perlu melihat di dalamnya maka memerlukan satu lagi alat yang dipanggil proctoscope.Dengan berhati-hati jari ku masukkan perlahan-lahan. Tidak sampai ke ruas jari yang pertama, aku dah terasa sesuatu yang sangat keras. Berketul-ketul dan aku sangat pasti ianya cuma najis yang sangat keras. Bila jari dimasukkan, pakcik pun mula meneran. Aku bersyukur tiada apa yang terkeluar ke atas tanganku. KAlau tidak, susah juga tu.
Pakcik, saya boleh bantu pakcik dengan korek keluar najis yang tersumbat ni. Pakcik sabar sedikit ya.
Buat la doktor...
Aku mula melakukan kerja-kerja membaiki 'pembentungan' pakcik ini. Korek yang tersumbat. Pup! Memang macam tahi kambing.
Pup lagi. Aik? Apa pula ni? MAcam biji rambutan. Sedikit pemeriksaan dilakukan pada hasil 'perlombongan' itu. Memang sah biji rambutan. 1, 2, 3 dan...dekat sepuluh biji rambutan berjaya ku keluarkan. Keinginan pakcik untuk 'membuang' semakin kuat. Aku terus meminta pakcik tersebut meneran sahaja di atas 'chinese paper' yang kami alaskan. Akhirnya segala yang tersumbat terkeluar.
Baunya hebat. melekat di seluruh kain dalam bilik kecemasan. Staf pakat buka segala tingkap, sliding door dan pintu yang ada. Kipas dikuatkan. Pakcik tersenyum malu tapi lega.
Macamana pakcik? OK?
Lega dah doktor...
Awat makan bijik rambutan pakcik?
Saja..
Ish..ish..ish..
Saya nak balik la doktor.
Tak nak tunggu sat, tunggu keputusan darah.
Tak apalah, apa-apa hal saya mai lain.
Ok pakcik, besok pakcik mai jumpa saya kat klinik
Baik doktor.
Keesokkan harinya pakcik datang tersengih lebar. Katanya tiada lagi sakit perut dan pagi itu pun dia sudah ke tandas.
Namun, sehingga hari ini perlakuan pakcik menelan biji rambutan sehingga sepuluh biji masih menjadi misteri yang menghantui. Dan..baunya kekal berhari-hari di hidungku..
No comments:
Post a Comment