Assalamualaikum
Berada di dalam jabatan psikiatri ini mengajar saya tentang dunia dari pandangan seorang yang dilabel gila, tiga suku atau putus wayar. Melihat dunia melalui perspektif mereka menyebabkan kekadang terfikir bahawa ada banyak hikmah sebenarnya di sebalik hidup mereka yang Allah kurniakan untuk kita sama-sama kongsi.
Susah sebenarnya nak memahami perspektif mereka. Sesusah mereka ingin menerima perspektif kita. Kadang-kadang kita bertengkar, berulang cakap, cuba meyakinkan mereka bahawa dunia mereka bukan dunia kita dan dunia kita lain dari dunia kita. Selalu saya terfikir betapa dunia ini cumalah satu pentas yang tiada apa-apa makna hakiki. Semuanya sementara. Kita melihat dunia dengan perspektif kita dan kita cuba meyakinkan orang bahawa dunia kita adalah dunia mereka juga.
Kita selalu terlupa bahawa betapa berbezanya kita sehinggakan dunia yang kita kongsi bersama ini pun sebenarnya berbeza-beza. Cantik dan indah bagi sesetengah kita tetapi neraka dunia bagi sebahagian yang lain. Apa yang kita rasa realiti cumalah sekadar fantasi bagi yang lain. Apa yang mungkin tidak wujud sebenarnya nyata bagi yang lain.
Fatamorgana? Fantasi? Realiti? Terserah pada kita yang melihatnya.
Bayangkan betapa Maha Besar kuasa Allah sehinggakan Allah boleh wujudkan dunia untuk setiap seorang dari kita. Gila mungkin penyakit tetapi halusinasi yang mereka alami itu sebenarnya salah satu tanda bahawa tiada apa yang mustahil di dalam kekuasaan Allah. Apakah mampu kita menidakkan halusinasi yang bagi mereka realiti? Mustahil.
Apakah mampu kita menidakkan dunia dari sudut mata dan fikiran mereka? Tidak mungkin.
Mana mungkin kita mampu berkata bahawa dunia selepas mati tidak wujud? Tiada siapa yang mampu menidakkannya sekiranya mereka benar-benar berfikir. Mana mungkin saya menyatakan tiada dunia selain dunia ini sedangkan saya amat yakin bahawa dunia yang lain itu sebenarnya wujud dalam diri kita masing-masing.
Mana mungkin saya menyatakan tiada dunia yang lain sedangkan saya yakin ada dunia yang lain dalam diri pesakit-pesakit saya.
Akhirnya, kita cuma mampu duduk dan berfikir bahawa Maha Suci Allah yang menjadikan sesuatu semuanya ada hikmahnya. Semoga Allah sentiasa bersama kita dan menjaga kita agar kita sentiasa ingat bahawa dunia kita bukan segalanya dan bersedialah kita untuk dunia yang lain pula.
No comments:
Post a Comment