Tuesday, December 13, 2011

BALA DARI BUMBUNG-BUMBUNG RUMAH

Rancangan TV dan pelbagai lagi sumber hiburan seperti pemain video CD, radio, permainan komputer dan sebagainya adalah salah satu cara termudah untuk ramai di kalangan ibu bapa di mana-mana negara di seluruh dunia menenangkan dan mengawal anak-anak mereka. Tidak kiralah samada rancangan atau program yang disajikan berbentuk hiburan semata ataupun pengetahuan, TV dan pelbagai sumber media ini adalah cara yang paling efektif dan paling banyak digunakan oleh ibu bapa.

Dengan kesibukan ibu bapa pada hari ini, tidak hairanlah peranan TV dan media menjadi semakin penting dan tidak mampu diketepikan dalam proses penjagaan anak-anak. Anak-anak kita boleh duduk berjam-jam di hadapan komputer mahupun TV tanpa menganggu kita yang sudahpun kepenatan seharian bekerja.

TV adalah satu cara ‘escapism’ termudah ibu bapa untuk mengamankan rumah mereka dan mengurangkan ‘gangguan’ yang mampu dicetuskan oleh anak-anak di dalam rumah dan sememangnya satu bentuk ‘escapism’ untuk anak-anak juga yang keletihan seharian di sekolah dan ingin mencari sedikit hiburan yang lebih mudah.

TERDEDAH
Berdasarkan satu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, 68% kanak-kanak sudah mula menonton TV seawal umur tidak mencapai 2 tahun dengan purata 1 ke 2 jam sehari setiap hari dan hampir 25% mempunyai set TV mereka sendiri di dalam bilik tidur masing-masing.

Penemuan ini juga disokong oleh Kaiser Family Foundation yang juga melaksanakan kajian mereka sendiri yang mana mendapati bahawa 2/3 dari kanak-kanak bawah 2 tahun menghabiskan purata 2 jam sehari di hadapan TV. Bagi kanak-kanak dan remaja dari umur 8 ke 18 tahun pula mereka didapati menghabiskan sehingga 4 jam sehari di hadapan TV dan 2 jam tambahan lagi bermain permainan komputer

Kajian yang dilakukan oleh Nielsen Media Research pula menunjukkan bahawa purata 3 jam sehari dihabiskan oleh anak-anak di hadapan TV. Ini tidak termasuk masa yang dihabiskan di hadapan media elektronik yang lain. Satu kajian pada tahun 1999 menunjukkan kanak-kanak menghabiskan lebih 6 jam sehari menghadap pelbagai jenis media elektronik ini. .

PANDANGAN PAKAR
Sejak tahun 1999, America Academic of Pediatrics (AAP), satu pertubuhan yang di anggota oleh pakar kanak-kanak di Amerika Syarikat telah mencadangkan supaya kanak-kanak di bawah umur 2 tahun tidak dibenarkan menonton TV atau apa-apa media sama sekali. Mereka juga mencadangkan supaya bagi kanak-kanak melebihi umur 2 tahun, mereka tidak seharusnya berada di hadapan TV melebihi 2 jam walaupun untuk rancangan yang berkualiti.

Malahan kerajaan Australia telah dicadangkan untuk mengharamkan terus penggunaan TV dan media elektronik lain untuk kanak-kanak bawah 2 tahun. LImiTV, satu pertubuhan yang memperjuangkan pengharaman TV pada anak-anak di Amerika mencadangkan pengharaman ini dilanjutkan sehingga umur 4 tahun

2 tahun pertama dalam hidup adalah dikira satu tempoh masa yang kritikal untuk perkembangan otak anak-anak kita. TV dan media elektronik sebenarnya mampu mengganggu gugat proses penjelajahan, bermain, berinteraksi dengan ibu bapa dan orang lain. Ia mampu mengganggu proses semulajadi ini yang bertujuan menggalakkan proses pembelajaran serta perkembangan fizikal dan kemajuan social anak-anak kita.
Apabila anak-anak kita semakin membesar, masa yang banyak dihabiskan di hadapan TV dan sebagainya akan mengganggu pelbagai lagi aktiviti yang sepatutnya dilakukan oleh anak-anak seperti bersenam dan beraktiviti, membaca, bermain dengan rakan sebaya dan menghabiskan masa dengan keluarga
Berdasarkan satu kertas kajian oleh Marie Evans Schmidt mendapati bahawa terlalu sedikit atau hampir tiada bukti langsung yang menunjukkan bahawa menonton TV mampu member kesan positif pada anak-anak bawah dua tahun namun hampir 30% ibu bapa percaya ia mampu membawa kebaikan. Ini berdasarkan pemahaman bahawa menonton rancangan TV dan video mampu mendidik anak-anak mereka dan baik untuk perkembangan otak anak-anak. Hampir 40% ibu bapa dengan anak-anak berumur bawah 6 tahun juga percaya menonton TV amat membantu dalam proses pembelajaran.

KESAN NEGATIF TV DAN MEDIA ELEKTRONIK
Kanak-kanak dan remaja adalah sangat mudah terpengaruh dengan pelbagai mesej yang cuba disampaikan melalui TV yang kemudiannya mempengaruhi persepsi dan perlakuan mereka. Kebanyakkan kanak-kanak tidak mampu membezakan antara yang benar dan yang tidak atau yang nyata atau fantasi. Kajian telah membuktikan bahawa media elektronik dan TV mampu member kesan pada perlakuan agresif dan melampau, perlakuan seks, pencapaian akademik, konsep tubuh badan yang sempurna dan imej diri, nutrisi, obesity dan penyalahgunaan bahan terlarang.

Masalah Pembelajaran dan Penumpuan
Dalam dekad 70an, Professor Werner Halperin pernah mengemukakan satu teori bahawa perubahan imej dan bunyi yang cepat di dalam TV dan media elektronik mampu membebankan system neurologi kanak-kanak dan boleh mengakibatkan masalah penumpuan pada masa akan datang. Dr Mathew Dumont dari Harvard Medical School juga mencadangkan bahawa perkara ini juga menyebabkan anak-anak di luar sedar meniru kecepatan dan kelajuan rancangan di dalam TV yang akhirnya menyebabkan masalah ADHD.
Pada April 2004, Dr Dimitri Christakis, seorang pakar yang banyak membuat kajian mengenai perkara ini mendapati bahawa anak-anak yang terdedah dengan media elektronik seawal umur 1 hingga 3 tahun mempunyai hubungkait dengan masalah kurang daya tumpuan pada umur 7 tahun. Di dalam kajian ini mereka mendapati anak-anak ini menonton purata 2 jam pada umur 1 tahun dan lebih 3 jam di umur 3 tahun. Menonton sehingga 5 jam sehari mampu meningkatkan sehingga 28% kemungkinan untuk mengalami masalah tumpuan pada umur 7 tahun.

Setiap jam yang dihabiskan mampu meningkatkan sehingga 10% kemungkinan menghadapi masalah ini. Harus diingatkan juga bahawa di dalam kajian yang dilakukan oleh beliau, tiada data mengenai jenis rancangan yang dilihat oleh anak-anak ini direkodkan.
Satu lagi analisis yang dijalankan berdasarkan data yang diperolehi dari National Longitudinal Survey of Youth- Child pada tahun 1986 menunjukkan bahawa setiap pertambahan satu jam dalam menonton TV pada umur di bawah 3 tahun boleh menyebabkan penurunan dari segi prestasi anak-anak dalam proses pembacaan dan pemahaman di umur 6 tahun.

Satu lagi kajian pula menunjukkan bahawa penurunan prestasi sehingga 17 mata dalam MacArthur Bates Communicative Development Inventory bagi setiap pertambahan satu jam masa yang digunakan oleh anak-anak lingkungan umur 8 ke 16 bulan habiskan untuk menonton rancangan DVD atau video yang kononnya khas untuk mereka.

Insiden Keganasan, Perlakuan Melampau dan Penyalahgunaan Bahan Terlarang
Kanak-kanak yang terdedah dengan rancangan berbentuk ganas seperti gusti, perang dan pembunuhan mempunyai kemungkinan yang lebih besar untuk menunjukkan perangai yang agresif dan p[ada masa yang sama mempunyai pandangan bahawa dunia ini adalah satu tempat yang menakutkan dan sesuatu yang buruk bakal menimpa mereka.

Dalam kajian saintifik mengenai keganasan di dalam media, hubungkait di antara keganasan media dan perangai agresif dalam kehidupan sebenar telah banyak dibuktikan. Dianggarkan sebanyak 10% hingga 20 % dari kes keganasan boleh dihubungkan dengan keganasan media. Dalam satu kajian yang baru diselesaikan di Amerika, National Television Violence Study mendapati bahawa hampir 2/3 rancangan media mengandungi unsur keganasan di mana rancangan untuk sajian kanak-kanak didapati mempunyai kandungan keganasan yang tertinggi dbandingkan dengan rancangan untuk peringkat umur yang lain.

Kajian ini juga mendapati bahawa keganasan digambarkan sebagai sesuatu yang glamor. Lebih teruk lagi, banyak insidens keganasan yang dilakukan di dalam TV dibiarkan tanpa hukuman. Sebagai contoh seorang hero yang membunuh berpuluh-puluh orang tidak pula dihukum kerana keganasan yang dilakukannya manakala orang jahat dibiarkan selamat untuk melakukan pelbagai jenis kejahatan tanpa ada sesiapa mampu menyekatnya.

Kajian juga menunjukkan 25% dari video musi dalam MTV menunjukkan unsur keganasan melampau dan penggunaan senjata. Pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa berita di TV juga mampu menimbulkan trauma pada kanak-kanak dan menyebabkan mimpi buruk. 37% kanak-kanak dari umur 6 tahun ke 12 tahun juga didapati telah ditakutkan dengan pelbagai bentuk rancangan di dalam TV yang boleh mengakibatkan perasaan yang tidak selamat di dalam kehidupan mereka.

Karakter di dalam TV juga seringkali menggambarkan perlakuan-perlakuan yang tidak baik seperti merokok, minum arak dan pelbagai lagi perlakuan membahaya yang lain. Berdasarkan kajian menunjukkan bahawa rancangan TV mengandungi kandungan yang tinggi dalam menunjukkan perlakuan yang negative seperti di atas. 25% dari video music di dalam MTV mempunyai perlakuan ini. Dalam satu kajian jangka panjang menunjukkan bahawa ada hubungkait positif di antara menonton dan melaksanakan perlakuan-perlakuan negative ini di kalangan remaja.

Lebih buruk lagi kanak-kanak dan remaja kita dihidangkan dengan pelbagai jenis rancangan yang menunjukkan perlakuan, imaginasi seksual dan pemakaian yang sangat provokatif yang mampu membentuk persepsi anak-anak ini dan juga boleh mngakibatkan tanggapan yang salah mengenai perlakuan yang tidak boleh diterima oleh agama mahupun budaya kita.
Di Negara kita tidak ada kurangnya dengan lambakan cerita berunsur tahyul yang melampau dan mempromosikan budaya hidup keduniaan yang tidak berbatas.

Masalah Kegemukan, Diabetes dan Masalah Kesihatan yang Lain
Kanak-kanak yang menghabiskan sekurang-kurangnya 4 jam sehari untuk menonton TV mempunyai kemungkinan besar menghadapi masalah kegemukkan. Di Amerika Syarikat sahaja, bilangan kanak-kanak dan remaja yang mempunyai masalah kegemukkan dan obesity telah menigkat sebanyak dua kali ganda dalam masa 20 tahun. Ini juga melibatkan kanak-kanak di bawah umur 5 tahun. Beberapa kajian mengaitkan masalah ini dengan aktiviti menonton TV dimana aktiviti ini didapati menyebabkan anak-anak kurang melakukan aktiviti fizikal dan terdedah dengan pelbagai iklan yang menggalakkan penggunaan makanan dan produk yang tidak berkhasiat.
Didapati juga bahawa salah satu predictor terpenting fenomena kegemukkan di kalangan kanak-kanak ialah Tv di dalam bilik tidur. 85% dari kanak-kanak yang menghidapi masalah diabetes juga adalah obes. Masalah jantung, darah tinggi, kolesterol, depresi dan rendah jatidiri juga dikaitkan dengan masalah kegemukan ini. Kajian juga mendapati bahawa kemungkinan untuk masalah ini kekal sehingga dewasa adalah kira-kira 20% pada kanak-kanak berumur 4 tahun dan 80% di kalangan remaja.

Kesihatan Emosi dan Kecekapan Manual
James Stayer melaporkan bahawa kebanyakkan iklan diolah sebegitu rupa sehingga menimbulkan satu perasaan dalam jiwa kanak-kanak ini yang mereka adalah seorang yang tidak berguna atau ketinggalan zaman sekiranya tidak membeli apa yang diiklankan di TV. Kanak-kanak mempunyai jiwa yang sangat sensitif serta mudah terpengaruh dan iklan di TV diolah untuk mengambil peluang ke atas kelemahan ini. Pendekatan ini telah dikritik hebat oleh ramai ahli psikologi kerana menggunakan kelemahan dalam diri anak-anak sebagai satu senjata melariskan barangan atau produk mereka.

Secara purata, kanak-kanak menonton hampir 40 ribu iklan setahun. Di samping mampu mengganggu pembentukkan jati diri dan keyakinan mereka, iklan ini juga mampu menyumbang kepada masalah kesihatan yang lain di mana kanak-kanak dengan mudah terpengaruh dengan iklan produk makanan yang tidak berkhasiat.

Endangered Minds oleh James Healy mendapati bahawa lebih ramai kanak-kanak pada zaman ini tidak mempunyai kecekapan tangan yang baik dalam menulis dan menggunakan peralatan. Ini dinisbahkan sebagai satu masalah yang disebabkan oleh kurangnya penggunaan tangan dalam hidup anak-anak ini semasa proses pembesaran kerana mereka kurang bermain dan melakukan aktiviti yang memerlukan kemahiran tangan.

CADANGAN UNTUK IBU BAPA
Cadangan-cadangan ini diolah terus dari cadangan yang disarankan oleh AAP melalui laman sesawang mereka. Cadangan yang diolah dalam bentuk poin ini sememangnya praktikal untuk ibu bapa di rumah. Ia lebih mudah dilakukan berbanding untuk menyarankan kepada kerajaan untuk melaksanakan pelbagai sekatan kerana ianya pasti akan mengambil masa yang lama dan ianya tidak akan berkesan sekiranya tiada iltizam dari ibu bapa. Cadangan adalah seperti berikut:

1. Menetapkan limitasi kepada penggunaan apa jua jenis media elektronik kepada anak-anak kepada tidak lebih dari 2 jam sehari untuk kanak-kanak lebih dua tahun

2. Benarkan hanya untuk program yang berkualiti sahaja dan alihkan TV atau apa jua jenis media elektronik dari bilik tidur anak anda.

3. Elakkan dari anak-anak berumur kurang dua tahun dari menonton TV dan galakkan aktiviti-aktiviti yang lebih interaktif bagi membantu perkembangan otak mereka seperti bersembang, menyanyi dan membaca bersama.

4. Awasi jenis rancangan yang ditonton oleh anak anda. Pastikan program yang ditonton Cuma yang berbentuk informative, pembelajaran dan tiada unsure keganasan

5. Tonton rancangan TV dan VCD bersama dengan anak-anak anda dan bincang mengenai apa yang mereka tonton bersama.

6. Sekiranya mereka terdedah dengan iklan/promosi atau cerita yang kontroversi, gunakan ia sebagai batu loncatan untuk membincangkan isu seperti nilai kekeluargaan, keganasan, seks dan dadah

7. Gunakan penggunaan video secara bijak

8. Berikan sokongan sepenuhnya untuk program yang berbentuk kesedaran mengenai kepentingan pembelajaran melalui media

9. Galakkan anak-anak untuk terlibat dalam aktiviti yang menyeronokkan seperti membaca, membentuk hobi dan sebagainya.

Semoga artikel ini mampu membantu anda dalam mengubah paradigm pendidikan anak-anak kita.