Wednesday, September 28, 2011

GALI KUBUR TOK WAN

Zam adalah seorang pemuda yang sudahpun berumur 34 tahun. Anak keempat dari sebuah keluarga yang besar ini masih lagi belum mempunyai pekerjaan yang tetap dan masih bergantung kepada kedua ibu bapanya yang sudah lanjut usia. Aktiviti Zam seharian tidak banyak. Kebanyakkan masanya dihabiskan di rumah. Zam jarang bercampur. Perangai yang sememangnya ada sejak dia kecil lagi.

Sekolah pun tak tinggi mana. Sekadar tamat tingkatan 3. Alasan? Sudah tiada minat untuk ke sekolah lagi. Seperti juga anak-anak kampong yang lain, Zam pada mulanya berminat untuk keluar ke bandar mencari kerja namun mungkin kerana rezekinya kurang baik, Zam jarang dapat kekal kerja dalam satu-satu tempat melebihi setahun.

Ada sahaja masalah yang menyebabkannya berhenti atau dibuang bekerja. Kebanyakkannya kerana beliau tidak dapat berbaik dengan orang lain. Pernah Zam tidak pulang ke kampong selama lebih 5 tahun. Merata kerjanya di seluruh Kedah dan Pulau Pinang namun akhirnya kembali ke pangkuan ibu bapanya.

Semenjak kepulangan Zam ke kampong 5 tahun lepas, Zam sudah banyak berubah. Dia lebih banyak berkurung di dalam bilik sahaja. Jarang sangat dia keluar dari rumah. Entah apa yang dibuatnya di dalam bilik tiada siapa yang tahu. Zam sudah mula bercakap sendirian di dalam bilik. Riuh rendah bunyinya terutama di tengah-tengah malam. Macam-macam perkara yang disembangnya seorang diri di dalam bilik. Tetapi Zam hanya ramah dan riuh di dalam bilik di tengah-tengah malam buta, bila di luar, dia jarang bercakap walau sepatah.

Ibu bapa sudah mula mengesyaki Zam menuntut ilmu salah. Diam-diam mereka berpakat sekeluarga untuk mengubati Zam dengan cara tradisional. Pawang pertama yang mereka jumpa duduk tidak jauh dari kampong sahaja. Selepas dijampi dan dinujum, pawang mengiakan bahawa Zam memang telah menuntut ilmu salah. Ilmu silatnya yang dipelajari kononnya semasa di Kuala Lumpur telah makan diri. Ada sesuatu yang sedang menghantui Zam sehingga Zam menjadi seakan miring.

Pawang menasihatkan keluarga membuat satu upacara untuk memutuskan ilmu Zam dan memulangkannya kepada tok guru Zam. Dengan duit pengeras dan beberapa barang yang disyaratkan, upacara putus ilmu dilaksanakan. Pawang kata benda yang ikut Zam ni sangat kuat. Jadi upacara itu dilakukan berkali-kali tanpa pengetahuan Zam sehinggalah akhirnya pawang memutuskan dia sudah pulih. Pawang itu memang hebat kerana tanpa pernah melihat Zam beliau sudah mapu mengubatnya.

Keadaan zam tidak banyak berubah. Di rumah semakin kurang selesa. Berkawad sepanjang malam sambil bergumam seorang diri. Keluarga lemas. Pawang dicari semula. Kali ini pawing membuat penakulan bahawa Zam bukan sahaja salah menuntut malah lebih teruk dari itu. Selepas air tawar dijampi dan tangkal diberi, pawang memutuskan bahawa jika ia tidak Berjaya maka Zam pasti tidak mampu dipulihkan lagi.

Memang benar kata pawang. Zam memang tidak sembuh bahkan makin teruk. Seperti dia berada di alam bunian. Bercakap, bersembang, tergelak, menangis dengan tiada orang. Keluarga pening tapi mereka tidaklah terlalu takut kerana Zam memang tak pernah buat orang pun. Mereka merasakan bahawa mungkin Zam sebenarnya telah berkahwin dengan orang bunian. Mungkin sudah beranak pinak sebab itu sembangnya seperti bercakap dengan ramai orang. Namun, atas nasihat abang yang tua, Zam dibawa juga berubat dengan bomoh lain pula. Bomoh berkata memang Zam dirasuk bunian. Bunian itu Zam jumpa semasa kerja di hutan di Pahang. Zam bersetuju berkahwin dengan puteri bunian dan itulah menjadikan Zam seperti dia hari ini.

Ubat diminta untuk Zam melupakan keluarga buniannya dan kembali ke dunia nyata. Keluarga Zam sanggup berkorban demi kebaikan Zam. Ubat itu pun Nampak gayanya tidak berjaya. Zam hanya kelihatan pulih sebentar tetapi selepas dua bulan dia kembali menjadi seperti sebelumnya. Kini dia dah kuat main air pula. Kalau Zam yang masuk ke dalam bilik air, habis air sekolam dipunggahnya. Berenang dalam kolam. Sehari sampai 4-5 kali mandi. Pening kepala ayahnya melihat bil air yang mendadak naik. Sama naik dengan kencing manis ayah Zam.

Semenjak itu sudah berpuluh bomoh mereka cari. Pantang dengar bomoh hebat, bergegas mereka pergi. Namun Zam begitu juga, sekejap OK sekejap tak OK pula. Akhirnya keluarga bersepakat menyatakan bahawa Zam Cuma buat perangai sebab malas nak bekerja. Zam dibiar di rumah. Dilayan seperti Zam tiada apa-apa masalah. Hidupnya dalam dunianya sendiri. Main air, hisap rokok, merayau. Main air, hisap rokok, merayau, sembang sorang-sorang, tak tidur-tidur.

Keluarga pasrah sahaja. Selagi mana tak mengacau orang lain mereka rasa Zam akan pulih sendiri juga. Macam kata bomoh-bomoh yang pernah mereka jumpa. Penyakit saka dan perangai ni lama-lama akan pulih sendiri. Bila saka dah sesuai dalam badan, perangai tu pun hilanglah. Saka itu katanya saka dari arwah Tok Wan Zam yang dah meninggal 40 tahun lepas. Baru berjumpa dengan waris yang sesuai. Dengarnya, saka itu hebat. Zam mungkin menjadi seorang yang dihormati jika saka itu sesuai dengannya nanti.

Sabar juga keluarga ini. Dah lebih dari 6 tahun masih setia menunggu Zam kembali pulih. Kerja pun tidak, apa pun tidak. Tanam anggur sepanjang masa.

Sebenarnya keadaan Zam semakin buruk di mata masyarakat. Zam bolehlah dikatakan orang gila yang belum sampai tahap mengacau orang. Orang kampong takut tapi mereka hanya cakap belakang sahajalah. Tiada siapa yang mahu mencadangkan apa-apa kepada keluarga Zam. Takut dilabel menjaga tepi kain orang lain. Selagi dia tak kacau orang, tiada siapa yang mahu peduli. Biarkan sahaja.

Sehinggalah pada suatu petang…

Petang itu tiada apa yang istimewa. Hujan renyai-renyai menyebabkan suasana kampong menjadi lebih sunyi. Zam kelihatan sibuk sedikit petang itu. Sibuk dengan cangkul dan segala peralatan berkebun. Keluarga tidaklah peduli sangat tetapi ini sememangnya lebih pelik dari biasa.

“Nanti kejap Tok Wan. Aku dating sat lagi. Hang tunggu sat kat situ.” Gumam Zam seorang diri. Memang Zam sentiasa bersembang dengan Tok Wannya yang sudah meninggal lebih dari 10tahun. Perkara inilah yang menyebabkan keluarganya agak yakin bahawa Zam sebenarnya pewaris saka khas dari Tok Wannya. Tok wannya dulu pun begitu juga. Ada membela bunian yang menjadi teman bualnya tak kira masa. Itulah sebabnya tok wan menjadi seorang yang sangat berani. Tengah malam pun dia mampu masuk ke hutan seorang diri diteman bunian. Berhari-hari baru balik pula. Hebat.

Zam terus menuju ke kawasan perkuburan di kampungnya. Seruan tok wan sudah semakin kuat. Zam yakin tok wannya masih hidup dan dia perlu menyelamatkan tok wannya dari terus dikuburkan sedangkan dia masih hidup. Dia yakin benar.

Setibanya di kubur, Zam terus menuju ke kubur tok wannya. Dengan izin suara tok wan, Zam mula mencangkul di tengah hujan renyai-renyai. Semakin lama semakin dalam. Dah hampir separuh jalan Zam berhenti menarik nafas.

“Hang pi rehat dulu” Suara tok wan mengarah Zam untuk berehat. “OK sat aku pekena rokok dulu” Zam menjawab. Dengan baju yang penuh lumpur, Zam keluar dari lubang kubur tok wannya.

“Hang buat pa tu Zam?” Jerit Pak Tam ketua kampong pada Zam. Pelik sangat Pak Tam melihat Zam dengan baju berlumuran lumpur dan tanah di tepi kuburan itu. Ngeri pula dilihatnya kerana Pak Tam tahu, Zam bukan betul orangnya.

Zam mendiamkan diri. Memang dia tidak akan bercakap selain dengan tok wan. Mereka semua dengki dan khianat.

Pak Tam sudah tahu. Pak Tam tidak tunggu.