Monday, May 30, 2011

DUNIA IDEAL?

Assalamualaikum

Berada di dalam jabatan psikiatri ini mengajar saya tentang dunia dari pandangan seorang yang dilabel gila, tiga suku atau putus wayar. Melihat dunia melalui perspektif mereka menyebabkan kekadang terfikir bahawa ada banyak hikmah sebenarnya di sebalik hidup mereka yang Allah kurniakan untuk kita sama-sama kongsi.


Susah sebenarnya nak memahami perspektif mereka. Sesusah mereka ingin menerima perspektif kita. Kadang-kadang kita bertengkar, berulang cakap, cuba meyakinkan mereka bahawa dunia mereka bukan dunia kita dan dunia kita lain dari dunia kita. Selalu saya terfikir betapa dunia ini cumalah satu pentas yang tiada apa-apa makna hakiki. Semuanya sementara. Kita melihat dunia dengan perspektif kita dan kita cuba meyakinkan orang bahawa dunia kita adalah dunia mereka juga.

Kita selalu terlupa bahawa betapa berbezanya kita sehinggakan dunia yang kita kongsi bersama ini pun sebenarnya berbeza-beza. Cantik dan indah bagi sesetengah kita tetapi neraka dunia bagi sebahagian yang lain. Apa yang kita rasa realiti cumalah sekadar fantasi bagi yang lain. Apa yang mungkin tidak wujud sebenarnya nyata bagi yang lain.

Fatamorgana? Fantasi? Realiti? Terserah pada kita yang melihatnya.

Bayangkan betapa Maha Besar kuasa Allah sehinggakan Allah boleh wujudkan dunia untuk setiap seorang dari kita. Gila mungkin penyakit tetapi halusinasi yang mereka alami itu sebenarnya salah satu tanda bahawa tiada apa yang mustahil di dalam kekuasaan Allah. Apakah mampu kita menidakkan halusinasi yang bagi mereka realiti? Mustahil.

Apakah mampu kita menidakkan dunia dari sudut mata dan fikiran mereka? Tidak mungkin.
Mana mungkin kita mampu berkata bahawa dunia selepas mati tidak wujud? Tiada siapa yang mampu menidakkannya sekiranya mereka benar-benar berfikir. Mana mungkin saya menyatakan tiada dunia selain dunia ini sedangkan saya amat yakin bahawa dunia yang lain itu sebenarnya wujud dalam diri kita masing-masing.

Mana mungkin saya menyatakan tiada dunia yang lain sedangkan saya yakin ada dunia yang lain dalam diri pesakit-pesakit saya.

Akhirnya, kita cuma mampu duduk dan berfikir bahawa Maha Suci Allah yang menjadikan sesuatu semuanya ada hikmahnya. Semoga Allah sentiasa bersama kita dan menjaga kita agar kita sentiasa ingat bahawa dunia kita bukan segalanya dan bersedialah kita untuk dunia yang lain pula.

Wednesday, May 18, 2011

PAK MAD TAK MAKAN EPILIM

Assalamualaikum

Pak Mad bukanlah seorang artis, ahli politik atau orang besar-besar. Dia juga bukanlah orang yang dikenali kerana perkara yang baik-baik di kampungnya kerana Pak Mad bukanlah orang yang sihat mentalnya. Mungkin juga dia adalah antara bahan lawak utama di kampungnya kerana biasalah, orang sakit mental sinonim dengan dua perkara satunya bahan jenaka dan satu lagi sebagai kambing hitam yang ditakuti. Orang sakit mental macam Pak Mad memanglah ditakuti kerana orang kita memang takut orang gila. Doktor yang tak bekerja di wad gila pun takut juga.

Tetapi Pak Mad mungkin orang yang paling beruntung di dunia. Pak Mad mempunyai seorang isteri yang amat setia sejak hampir 30 tahun lalu. Dia juga mempunyai 3 orang anak yang saya kira baik-baik orangnya. Cik Yah, isterinyalah yang menanggung keluarga Pak Mad dengan kerjanya sebagai pembantu rumah. Dialah yang membesarkan anak-anak mereka, menjaga mereka semasa Pak Mad diserang relaps.

Relaps Pak Mad bukan sekali ini. Dah berpuluh-puluh kali. Dan relapsnya juga sememangnya sentiasa memalukan keluarganya. Perangainya semasa relaps mampu meruntuhkan tembok kesabaran sesiapa sahaja. Ya, Encik Ahmad bukan orang yang agresif semasa relapsnya tetapi stigma yang juga terlekat pada isteri dan anak-anak dah cukup untuk menyebabkan ramai pasangan orang lain angkat kaki secepat mungkin. Isteri Encik Ahmad sememangnya lain dari yang lain. Mungkin 1 dalam 1000. Atau mungkin dalam beribu-ribu.

Takut? Kalau takut dah lama Cik Yah cabut. Cabut sejauh mungkin macam orang lain juga. Yang dah sihat pun akan dicari alasan untuk putuskan hubungan inikan pula orang macam Pak Mad yang relapsnya tak berhenti-henti. Pak Mad memang untung kerana isterinya memang bertanggungjawab sebegitu rupa. Cik Yah kata orang sakit jangan kita takut, kita kena kesian.

Ada orang kata Ci Yah bodoh. Apa yang nak ditunggunya dengan orang gila itu pun tak tahulah. Sihatnya tak pernah bertahan lama. Jika sihat pun tak banyak yang mampu dibuatnya. Maklumlah, Pak Mad ni pesakit yang sudah kronik. Tak banyak yang boleh berubah. Dari dulu pun begitulah rupanya. Sakit, sakit, sakit, sihat kejap, sakit balik. Ubatnya, dimakan tak menentu juga. Muak katanya. Bila tak makan ubat, Cik Yah pun dah tau sangat dia akan relaps. Dalam dok makan ubat tu pun dia relaps katanya. Makin tua ni makin kerap relapsnya.

Tapi Pak Mad pun memang baik orangnya. Tak pernah dia berkasar dengan isterinya walau segila-gila dia pun. Tak macam ramai suami di luar sana. Tak gila pun pukul bini. Pak Mad nampaknya jauh lebih baik dari mereka tu. Bila Pak Mad sihat, mesti dia akan kerja. Kerja kampung, kutip barang terpakai, tolong-tolong orang dan macam-macam lagilah. Rajin Pak Mad ni kalau sihat. Baik pula pada anak-anak dan isteri. Tengah relaps pun masih dia hormat isterinya. Tinggi suaranya tapi tidaklah pula dia mengherdik-herdik atau memaki-maki. Dengan doktor pun begitulah juga perangainya.

Memang Pak Mad suka memaki juga. Tapi yang dimakinya adalah ubat Epilim itulah. Memang musuh sangat dia dengan Epilim tu. Bila nak relaps, ubat itulah yang akan mula ditinggalkannya. Katanya Epilim tu sama je dengan Lim Kit Siang. Dia UMNO jadi dia tak makan ubat Lim Kit Siang. Entah apa yang dimarahkan sangat dengan Cina seorang tu saya pun tak tau. Apa kaitan ubat itu dengan politik dirinya juga tiada siapa yang mampu menafsirkannya. Dinasihatkan macamana pun takkan dilayannya kalau disuruh makan ubat yang itu. Kalau tukar warna merah tak apa katanya. Sebab merah macam UMNO. Kuat juga politik Pak Mad ni. Setia.

Paling dia suka menyanyi kuat-kuat. Semua orang kenal Pak Mad kalau relaps. Dari jauh dah kedengaran suaranya yang serak-serak basaha ala penyanyi Roy terpekik dengan lagu-lagu 60an dan 70an. Seronok sungguh dia sambil bercakap slang orang putih dengan semua orang. Cik Yah pula sentiasa tersenyum kelat disampingnya, beria-ria menyuruh suaminya kurangkan suara. Perkataan maaf entah berapa puluh kali dihambur Cik Yah kerana suaminya mengganggu tetapi kami tidak kisah pun kerana kami dah masak dengan perangai Pak Mad.

Perangai Pak Mad kalau nak relaps akan mula tidak menjaga kebersihan dirinya. Rambut, janggut, misai dan jambangnya dibiar panjang tidak terurus. Mandi jauh sekali. Kadang-kadang sampai 3-4 hari. Itupun kalau sudah puas dipaksa Cik Yah. Kerjanya sehari-hari akan merayau di sekeliling kampung, mengutip sampah dan menegur semua orang yang dijumpainya. Petang-petang Cik Yah akan cari untuk balik rumah dengan motosikal mereka. Kalau tidak entah di mana tidurnya, Cik Yah pun tak tahu.

Pernah Pak Mad hilang lebih 100 batu dari rumah. Tau-tau ditangkap polis dan dimasukkan ke hospital di sana. Sebulan juga dia di sana barulah Pak Mad boleh beritahu nama dan alamat dirinya. Puas Cik Yah mencari ustaz sembahyang hajat. Habis sekampung dikerahnya mencari Pak Mad. Merata sedara maranya merayau ke sana ke mari. Akhirnya terjongol di muka pintu dihantar ambulans balik ke rumah.

Bila mula sihat, Cik Yah lah yang menggunting rambut, memandikan, mencukur dan membersihkan Pak Mad. Memang Cik Yah jaga sungguh Pak Mad ni. Tak pula dia merasa jijik atau geli. Sayang sungguh pada suaminya yang tak centre tu. Entah apa yang istimewanya hanya Cik Yah yang tahu. Kita pun belum mampu setia sebegitu.

Kalaulah ada anugerah isteri mithali, Cik Yah lah orang yang paling layak. Kasih wanita seorang ni amat sukar ditandingi. Hampir tidak mungkin. Setianya juga tak berbatas. Setiap kali disingkap kisah lama, Cik Yah akan beritahu suaminya dulu sihat. Sakitnya tak pernah dicari. Ujian ini memang Allah bagi untuk Cik Yah. Tangisannya sudah selalu kami saksikan tapi dia masih begitu juga, sabar menjaga suaminya yang sakit ini.

Hidup mereka susah. Apalah sangat yang mampu diharapkan dengan gaji kecil Cik Yah yang bekerja sebagai pembantu rumah di kampung. Pernah Cik Yah jatuh motor dan patah pehanya. Berbulan-bulan dia terlantar. Mujurlah pada masa itu, Pak Mad tak relaps, boleh juga dia membantu mencari rezeki untuk mereka sekeluarga. Pandai pula Pak Mad makan ubat tanpa disuruh Cik Yah. Memanglah Pak Mad ni mengada-ngada. Sengaja nak dimanja-manja. Bila tersepit boleh pula dia berdikari. Mungkin kasihnya yang menguatkan dirinya masa tu.

Gila-gila Pak Mad pun sayang juga pada anak-anaknya. Tahu dia anaknya sekolah tingkatan berapa. Anak-anaknya buat apa. Tak pernah anaknya dibawa ke klinik bila dia sihat. Katanya, takut orang pandang serong pada anaknya sebab Pak Mad kan gila. Pak Mad memang suka cerita kisah anak-anaknya. Memang Pak Mad lebih sayang anaknya dari ramai orang yang waras diluar sana. Pak Mad tak pernah pun dera anaknya jauh sekali sumbang mahram.

Cik Yah yang setia, yang sabar, yang penyayang dan yang bertanggungjawab mungkin sememangnya 1 dalam beribu-ribu. Besarnya pahala orang sepertinya kan? Kita pun tak mampu melakukannya. Pak Mad mungkin gila tetapi dia mungkin jauh lebih baik dari kita yang waras tetapi masih melakukan dosa pada Allah. Untung sungguh mereka berdua ini ya, sabar dalam menempuhi ujian Allah.