Wednesday, June 29, 2011

OPEN YOUR EYES

Lagu yang benar-benar terkesan di hati walupun beratus-ratus kali didengar.
Bisa membuatkan hati lebih banyak ingatkan Allah

Monday, June 20, 2011

TRAGEDI WHITE COAT DAN COKLAT NIPS

Hari itu seperti juga hari-hari biasaku sebagai houseman yang berusia seminggu di Hospital Melaka. Wad surgery sibuk seperti biasa dan aku yang masih kurang cekap melakukan prosedur terpaksa mengorbankan masa tengahariku melakukan kerja-kerja yang tidak pernah habis. Hari itu juga seperti biasa untuk ku kerana rutinku mencari makan tengahari membuatkan aku berjalan pantas ke kedai hospital sambil melompat turun naik tangga. Lif terlalu lambat untuk seorang houseman. Setiap minit terlalu berharga.

Dengan white coat yang telahpun ku pakai sejak zaman pelajar masih di badan, aku berlari pantas cuba mencuri masa mengisi perut. Setiap selekoh dan halangan di hospital itu telah kuhadam. Hospital adalah duniaku sejak seminggu ini.

Coklat NIPS adalah sumber glukosku di sela sibuk di wad. Nasi? Itu bukan makan tengahari houseman tu. Tak dan. Makan sambil mengisi borang dan curi makan sahaja sambil pergi katil ke katil. Tak sempat nak duduk pun. Memang dah jadi sebahagian dari barang-barang wajib dalam white coat. Coklat, gula-gula dan apa sahaja yang sangat mudah dibawa dan mudah dimakan.

Bila sudah bergaji, 'energy bar' lah barang wajib dalam poket. Tak hairanlah badanku yang sedia kurus kering menjadi semakin kering.

Duniaku di wad adalah dari bulan ke bulan juga. Tak sempat nak melihat matahari. Inilah sahaja masanya aku mahu melihat matahari dan menyegarkan nafas yang sudah hafal dengan bau melaena dan nanah.

Namun hari ini memang luar biasa…

“Ha..tu dia doktor!” Ayat itu singgah dipendengaranku sedang aku bergegas mencuri masa di sela kesibukan sebagai houseman mencari sebungkus coklat NIPS habuan rutin makan tengahariku. Mulanya tidak ku pedulikan keriuhan itu kerana maklum sajalah, hospital dan hiruk pikuk cemasnya sudah menjadi agak lazim untuk seorang doktor muda sepertiku yang baru seminggu bertugas sebagai houseman.

Tapi kali ini ia berbeza. Ayat itu bukan datangnya dari pesakitku di wad surgery tetapi di depan kaki lima hospital di tengah-tengah kesibukkan orang keluar masuk melawat. Dan aku pun bukanlah mahu ambil pusing sangat kerana panggilan doktor terlalu baru untuk diriku untuk bereaksi sepantas kilat. Masih terlalu mentah dan baru untuk membiasakan diri dengan panggilan itu.

“Doktor!!” Sekali lagi. Sedangkan aku makin hampir ke tempat tujuanku. Aku ada kurang 5 minit untuk membeli NIPS dan lari balik ke wad. Tiada masa untuk melayan perkara lain tetapi kali ini aku semakin sedar. Kumpulan orang ramai itu sedang memanggil aku.

Tersentak dan tergamam.

“Alamak” getus hati kecilku sambil memaling muka kea rah sekumpulan orang yang mata mereka semuanya tertumpu kepadaku. “Doktor, meh sini tolong cepat!!” Seorang lagi memaksa aku mengheret kaki dengan laju ke arah mereka. “ Apa pulak ni…” Sambil hati kekalutan memikirkan ‘bala’ apa pula yang menimpa aku yang masih setahun jagung ini.

Semakin hampir ke kumpulan ramai itu makin jelas terdengar suara orang ramai kekalutan cuba mengawal keadaan. Ada yang cuba menjadi pengawal dan pula yang menjadi seolah-olah dinding menyembunyikan sesuatu dari pandangan. Suara-suara itu bercampur baur dengan suara jeritan dan tangisan. Nampaknya ada ‘disaster’ di dalam van yang sedang dikepung oleh begitu banyak badan manusia itu.

Otak mula ligat. Hati makin kalut. Jantung makin laju. Makin dekat makin ragu.

Sambil aku berjalan laju ke arah mereka, mereka makin kuat berteriak menyuruhku cepat memaksa aku berlari dalam paksa. Mahu sahaja aku menjerit memberitahu dunia aku cumalah doktor junior yang berusia tak lebih dua minggu. Kecemasan agak asing bagiku lebih-lebih lagi di tengah orang ramai sebegini di luar jabatan kecemasan yang biasa ku lawati semasa masih bergelar pelajar tak lama dulu di UKM.

“Aku nak buat apa ni?” Getus hati.

Sesampainya aku di pinggir kumpulan itu beberapa pasang tangan terus menarik ku ke tengah ‘medan’ yang tak pasti ini. Seolah rohku tertinggal di belakang.

Nah! Itu dia. Seorang wanita muda dengan darah penuh dipakaiannya menyeringai menahan sakit. Darah terus menitis ke jalan tar dicampur dengan bau hanyir yang sememangnya aku dah terlalu biasa tetapi tidak ingat di mana.

“Kepung doktor! Jangan bagi orang tengok!” Kata seorang lelaki separuh baya disisiku. “Pakcik kena bawak kecemasan ni pakcik” Sambil aku pula yang kepucatan cuba memberi cadangan. “Tak dan dah..” keluh wanita muda yang dibasahi darah itu.

Aku terus ditolak ke depan wanita itu dan dia terus menyelak kainnya.

“Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Nanti! Nanti!” Itulah ayat pertamaku.

Di celah kain itu kepala seorang bayi yang kebiruan tersangkut di bukaan vagina ibunya. Biru seperti aku juga yang rasanya hampir menjadi biru. “Doktor tolong anak saya” Teriak seorang lelaki di tepi ku. “Tolong? Alamak!” Sekali lagi hatiku berkata. Aku yang panik.

Tanpa kusedari tanganku dah mencapai kepala bayi itu. Terlalu panik.

Sarung tangan getah? Tak ada

Gaun Hijau dan topeng penutup hidung? Tak ada.

Bidan dan gunting pemotong tali pusat? Tak ada.

Cuma aku dan sekumpulan manusia yang sekalut aku tetapi seolah-olah terjumpa penyelamat mereka iaitu seorang aku. Mereka lega aku yang kalut. Lebih kalut dari si kalut.

Cuba ku tarik bayi itu keluar tanpa berfikir panjang. Tersangkut. Tak terlintas pula untuk aku memeriksa samada ada apa-apa yang menyekatnya seperti yang diajar dulu. “Tak boleh doktor..sangkut” kata si ibu muda itu. “ Dah macamana?” Aku pula yang bertanya sambil tangan masih kalut membelek kepala bayi itu.

Dah lama aku meninggalkan O&G zaman pelajarku. Mungkin hampir setahun. Dan tak pernah ku membantu kelahiran keseorangan sebegini.

Ku cuba sekali lagi kali ini dengan lebih berfikir. Oh!Tali pusat dia. Sangkut. Ketat.

Ku tolak kepala bayi itu dan kutopang bahunya untuk melonggar jerutan itu. Longgar. Ku buang tali pusat yang menjerut leher bayi itu. Bayi itu pun seolah meluncur keluar dan terus menangis. Memerah memadam kebiruannya tadi.

“Haaaaaaa…..” Serentak termasuk diriku. “Pandai doktor” Puji orang di sekeliling. Aku bukannya bangga tapi lega. Mungkin lebih lega dari semua orang di situ.

Dan macam filem Hindustan, bila semuanya selesai, jururawat dari wad bersalin pun sampai. Tali pusatnya dipotong dan aku terus berlalu bilamana mereka mengambil alih bayi dan ibu itu. Tak sempat untuk buat apa lagi. Maklumlah, houseman yang baru seperti ku terlalu takut untuk lewat kembali ke wad.

Tangan dibasuh. Coklat NIPS dibeli dan aku terus berlalu ke wad di tengah ucapan terima kasih orang di sekelilingku. Tiba-tiba terasa seronok. Bukan seronok dipuji tetapi seronok kerana aku baru sahaja menyenangkan hati begitu ramai orang. Kali ini tiba-tiba coklat NIPS menjadi terlalu sedap. Hati berbunga gembira walaupun hariku masih panjang lagi.

Jalanku seolah mempunyai spring. Bersemangat dan yang pastinya sengihku kali ni berbekas sampai ke malam.